SHAH ALAM - Tun Dr Mahathir Mohamad tidak sepatutnya menuding jari kepada Pas yang didakwa menyebabkan berlakunya perpecahan kaum Melayu.

Sebaliknya, perdana menteri itu perlu bertanggungjawab dengan tertubuhnya banyak parti politik Melayu di negara ini.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi berkata, perpecahan dalam politik Melayu berlaku semasa beliau menjadi perdana menteri keempat lagi.

Malah, katanya, keadaan itu lebih ketara sejak pemerintahan beliau pada masa sekarang termasuk dengan kewujudan sebuah parti Melayu mirip kepada pemerintah Pas.

“Apa yang disebut Mahathir itu sebenarnya beliau hendak lari daripada apa yang berlaku (perpecahan Melayu) semasa era pemerintahannya,” katanya.

Sallehen berkata, Pas menolak dakwaan yang dilemparkan perdana menteri kerana parti itu sejak daripada penubuhannya ingin menyatukan semua umat manusia.

“Pas meletakkan Islam sebagai asas perjuangan dengan tujuan untuk menyatukan manusia dan bukan berpecah-belah.

“Amalan politik Pas sejak dulu lagi membentuk penyatuan dalam menyelesaikan banyak masalah yang berlaku,” katanya.

Menurut sebuah portal berita atas talian, Mahathir berkata, perpecahan dalam kalangan orang Melayu pada hari ini adalah disebabkan politik yang dibawa Pas.