DALAM usaha menaikkan semangat dan moral Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusinya perlu bertanding di kerusi Parlimen Pekan pada PRU kali ini yang kini disandang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Demikian pandangan dibuat oleh penganalisis politik, Hu YiDao seperti disiarkan dalam Kwong Wah Yit Poh.

"Pada PRU14, sebagai 'panglima' Harapan, Tun M mesti menunjukkan kesungguhan melawan kepada pemimpin dan penyokong dalam pakatan pembangkang.

"Langkah ini bukan sahaja dapat meredakan perasaan tidak puas hati yang ada pada sesetengah penyokong Harapan, malah mampu menaikkan peluang kemenangan calon-calon Harapan di seluruh negara," tulis penganalisis ini.

Pada PRU lalu, BN memenangi 47.4 peratus undi dan pembangkang 50.9 peratus. Bagaimanapun, BN tetap berjaya mempertahankan tampuk pemerintahan melalui jumlah majoriti kerusi iaitu 133 kerusi berbanding pembangkang, 89 kerusi.

Selain Tun M, tulis penulis ini lagi, lain-lain pemimpin utama dalam Harapan juga perlu mengikut jejak langkah dengan mencabar beberapa pemimpin utama BN.

"Contohnya, Timbalan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu meninggalkan kerusi Pagoh untuk bertanding di Sembrong dan satu lawan satu dengan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Manakala bagi pemimpin-pemimpin PKR, mereka juga tampil ke depan bagi memberi gambaran bahawa Harapan memang ada kesungguhan menawan Putrajaya.

"Calon timbalan perdana menteri Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, apakah patut mencabar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk?

"Sekiranya PKR ingin mempertahankan kerusi di Permatang Pauh, parti itu boleh menyerahkan kepada Nurul Izzah, sementara Naib Presidennya yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali harus lebih berani mencabar seorang menteri daripada Umno," katanya.

Menurutnya, begitu juga dengan Presiden Amanah, Mohamad Sabu, apakah beliau sanggup 'bergadai nyawa' untuk bertembung dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di kubu kuatnya di Marang?

Jika beliau tidak berani mencabar Abdul Hadi, beliau tetap akan dipuji jika memilih salah sebuah kubu kuat milik menteri Umno.

Seperti Bersatu, PKR dan Amanah, DAP turut tidak ketinggalan dengan menunjukkan semangat melawan yang kental.

Ketua Parlimennya, Lim Kit Siang pada PRU lalu telah membuktikan pilihan tepat apabila nekad bertanding di kerusi Gelang Patah untuk melakukan pertarungan bersejarah dengan Menteri Besar Johor ketika itu, Datuk Abdul Ghani Othman.

"Sekiranya PRU kali ini, Kit Siang sekali lagi membuat keputusan luar biasa dengan mencabar Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong di Ayer Hitam, sudah pasti ia bakal menyaksikan satu lagi pertandingan menarik antara DAP dan MCA," katanya.

Saifuddin Nasution tanding di Dun Pulau Pinang?

Penasihat strategik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Saifuddin Nasution Ismail difahamkan bakal bertanding di Dun Pantai Jerejak pada PRU14.

Malah, sekiranya beliau menang, beliau akan dilantik timbalan ketua menteri Pulau Pinang yang baharu, menggantikan Datuk Mohd Rashid Hasnon yang dikatakan akan bertanding di Johor.

Memetik laporan Oriental Daily, pelantikan Saifuddin Nasution sebagai penasihat strategik kepada Lim Guan Eng pada 4 Januari 2017, telah mencetuskan pelbagai spekulasi bahawa pelantikan itu adalah sebagai laluan awal untuk beliau bertanding di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai spekulasi ini, Saifuddin Nasution menjelaskan, sebagai Setiausaha Agung PKR, salah satu tugas dilakukannya ialah pengagihan kerusi antara parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan.

Sementara itu, Naib Presiden Gerakan, Oh Tong Keong yang dikatakan akan dicalonkan untuk bertanding di Dun Pantai Jerejak berkata, tidak kira siapa calon pembangkang, partinya sentiasa bersiap sedia pada bila-bila masa.

"Terpulanglah kepada PKR, siapa yang akan diwakili mereka, sama ada Saifuddin Nasution bertanding, ia masih belum dipastikan lagi," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :