PUTRAJAYA -  Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad mengakui bahawa dirinya berjiwa Umno selepas tujuh dekad bersama parti itu.

Namun, selepas Umno didakwa menyimpang jauh daripada perjuangan, pemimpin berusia 93 tahun itu terpaksa merelakan dirinya bebas dari ikatan parti tersebut.

“Saya tidak boleh terikat diri dengan parti setelah ia dipimpin oleh seorang pemimpin yang dilabel sebagai pencuri. Salahlah bagi saya kalau saya kekalkan diri,” katanya.

Sambil menyifatkan Umno sebagai sebuah parti mulia dan baik, ahlinya perlu menunjukkan kesetiaan.

Selain itu, Dr Mahathir secara berseloroh turut mengakui bahawa beliau adalah Melayu 2.0 yang mana akan terus memperjuangkan Melayu dan negara.

“Saya ingin melihat semua kaum termasuk etnik berkongsi kekayaan negara,” katanya.

Menurutnya, sekiranya ada kaum yang ketinggalan, tumpuan penuh perlu diberikan agar dapat melonjak bersama kaum lain.

“Apabila terdapat jurang antara miskin dan kaya akan membawa kepada suasana tidak sihat yang boleh mencetuskan rusuhan,”katanya.

Beliau berkata, Pakatan Harapan sanggup bekerjasama dan berkongsi kuasa dengan semua kaum bagi mengelakkan konfrontasi berlaku.

“Tetapi dari segi ekonomi, masih berlaku perpisahan. Ini yang perlu kita perbetulkan,” katanya.

Dr Mahathir berkata, sikap sesuatu kaum dan etnik yang menyebabkan mereka tidak berubah mengikuti arus kemajuan.

“Silapnya budaya dan pegangan mereka. Kita tidak akan maju walaupun diberi peluang,” katanya.

Menurutnya, masyarakat Melayu perlu terima hakikat bahawa mereka tidak bekerja keras untuk maju.

“Sebagai contoh, kita beri AP untuk menjual kenderaan, tetapi mereka pergi jual lesen itu. Yang beberapa orang usaha, kita nampak kejayaan mereka.

“Dari segi kecerdikan, semua kaum sama,” katanya.