KOTA BHARU - Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempersoalkan kesahihan tragedi 1998 yang menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim dipukul sehingga matanya lebam.

Beliau berkata, insiden yang mengemparkan itu berlaku ketika negara  dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad dan seolah-olah seperti sebuat plot cerita Tamil yang tidak masuk akal.

Abdul Hadi berkata demikian sebagai merujuk kepada simbol mata merah dan biru yang digunakan oleh gabungan Pakatan Harapan  dalam PRU14 nanti.

"Sekarang guna simbol mata, mata lebam biru, lebam merah, (seperti) kena ‘gocoh’, bekas kena tumbuk.

"Tiba-tiba yang kena tumbuk dan yang tukang tumbuk bersatu,  kena tumbuk sungguh atau pura-pura sahaja?

"Macam filem Tamil, kena sekali tumbukan, jatuh berguling-guling, yang tengok menangis sedih, padahal tidak ada apa-apa, satu lakonan sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di Majlis Pengisytiharan Calon Pas Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.

Abdul Hadi berkata, rakyat sudah merasai dipimpin oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tetapi ketika ini masih berhasrat mengetuai kembali negara.

"Kasihan kepada rakyat, tidak perlulah sebut nama, kasihan, "katanya disambut sorakan kira-kira 10,000 penyokong parti.