BENTONG – Sesiapa pun calon yang bakal diketengahkan Pakatan Rakyat (PR) di kawasan Parlimen Bentong akan diterima secara terbuka, kata Ahli Parlimen kerusi itu, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Menurut beliau,  Barisan Nasional (BN) sedia berdepan dengan siapa sahaja calon diketengahkan PR dan menganggap ia sebagai cabaran biasa dalam dunia politik.

Katanya, perkara paling penting ialah setiap wakil rakyat BN perlu terus bekerja keras untuk berbakti kepada penduduk di daerah ini.

Tiong Lai memberitahu, pihaknya menerima secara terbuka siapa sahaja calon bakal bertanding kerana negara ini mengamalkan prinsip demokrasi berparlimen.

“Saya tidak tahu siapa bakal bertanding terutama di kerusi Parlimen Bentong, namun paling penting bagi saya ialah terus menjalankan tugas diamanahkan demi kepentingan penduduk.

“Dulu saya difahamkan PKR bakal diletakkan sebagai calon Parlimen, tetapi sekarang dengar ura-ura DAP pula mahu bertanding,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan DAP Bahagian Bentong yang mahu Pengerusi DAP Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Triang, Leong Ngah Ngah bertanding di kerusi Parlimen Bentong pada pilihan raya akan datang menerusi Sinar Harian keluaran 17 Februari lalu.

Tiong Lai berkata, pihaknya yakin penduduk dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi dengan baik untuk memilih wakil rakyat terbaik.

Menurutnya, perkara lebih penting buat masa ini ialah meneruskan tanggungjawab kepada penduduk dengan menyelesaikan masalah dan membawa pembangunan.

“Saya harap semua tanggungjawab dilakukan selama ini membuka mata penduduk untuk terus memilih BN sama ada di kerusi Dun atau Parlimen,” katanya.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.