SHAH ALAM - Nyanyian lagu Umno dengan lirik "bersatu kita bersatu.." perlu dilihat dari perspektif berbeza dalam imej baru Umno hari ini.

Melalui status di laman Facebook milik Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, dahulu berbeza pandangan dilihat melanggar disiplin parti dan wajar dipecat.

Menurutnya, ia turut diamalkan pada zaman Perdana Menteri keempat.

"Kini kepelbagaian perlu dilihat positif dan mengindahkan Umno.

"Biarlah Khairy Jamaludin dan pengikutnya dengan caranya, mungkin Tengku Razaleigh Hamzah ada caranya dan Datuk Seri Dr Zahid Hamidipun ada caranya. Kita harus membiasakan diri dengan perbezaan ini dan saling menghormati," katanya.

Bekas Ahli Parlimen Kemaman itu berkata, Parti Liberal Democratic Party, Jepun dikatakan ada lebih lima bahagian dalaman yang secara rasmi diiktiraf.

Katanya, parti ini pernah hilang kuasa dan kembali berkuasa.

"Mereka realistik. Politik ialah politik. Perbezaan pasti wujud.

"Perbezaan adalah sebahagian dari politik. Yang penting bagaimana menguruskan perbezaan," katanya.

Ahmad Shabery berkata, konsep bersatu dan disiplin dalam Umno antara perkara yang perlu diberi pentakrifan baru.