SHAH ALAM - Lebih ramai pemimpin dalam Umno dijangka akan mengikuti jejak langkah ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang membuat keputusan keluar daripada parti itu.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, tindakan kedua pemimpin tersebut bakal mencetuskan lebih banyak tindakan sama daripada wakil rakyat Umno yang lain.

“Keputusan Mustapa dan Hanifah memberi keyakinan dan kekuatan kepada pemimpin Umno yang lain untuk lakukan tindakan sama kerana tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan Umno.

“Jika kedua pemimpin ini mampu nekad buat keputusan tersebut, mengapa tidak pemimpin Umno yang lain buat perkara sama. Ini bermaksud, mereka mempunyai justikasi yang lebih kukuh untuk keluar parti,” katanya kepada Sinar Harian.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tok Pa keluar Umno]

[ARTIKEL BERKAITAN: Anifah aman pula keluar Umno]

Pada masa sama, beliau turut menjangkakan Umno akan menjadi sebuah parti yang lemah dan usaha untuk bangkit semula adalah sesuatu yang sukar dilakukan dalam tempoh masa terdekat.

“Keputusan ke dua pemimpin tersebut sudah tentu memberi satu tamparan yang hebat kepada Umno.

“Tindakan tersebut membuktikan bahawa mereka tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan Umno yang mungkin disebabkan oleh tindak tanduk dan keputusan yang dibuat untuk menjalinkan kerjasama dengan Pas,” katanya.

Tambah beliau, tindakan tersebut juga berkemungkinan berpunca daripada keupayaan presiden parti, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi yang dilihat tidak berupaya melakukan transformasi terhadap Umno.

“Mereka harapkan orang seperti Khairy Jamaluddin untuk menerajui Umno sebagai pemimpin baharu yang boleh menukar imej dan reputasi parti itu,” katanya.