KUALA LUMPUR - Umno dinilai lebih baik bekerjasama dengan Pakatan Harapan berbanding bersama Pas.

Memetik laporan The Malaymail, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, ini kerana Umno-BN merupakan parti berbilang kaum dan tidak sesuai hanya berjuang menegakkan agama Islam semata-mata.

"Pada saya, saya akan memilih bekerjasama dengan DAP atau PKR. Saya bukan seorang yang Islamik," katanya.

Bekas menteri perlancongan itu berkata, secara peribadi beliau tidak mempercayai bahawa parti yang berteraskan Islam mempunyai masa depan yang cerah di Malaysia jika dilihat pada keadaan semasa.

"Saya bukan seorang yang Islamik. Politik berteraskan agama adalah di luar fikiran saya. Saya menentang parti seperti itu.

"Sebagai rakyat Malaysia, DNA kita adalah berbilang bangsa. Jadi parti berteraskan agama bukan caranya. Saya tidak bersetuju dengan Pas," katanya.

Sebelum PRU14 lalu, Umno dan Pas bekerjasama atas semangat kepentingan Islam dan Melayu.

Bagaimanapun selepas kekalahan BN dalam PRU14 lalu, Pas dilihat tidak memberikan kerjasama bagi pembentukan kerajaan yang tergantung di Kedah dan Perak kerana tiada pihak berjaya mendapat majoriti mudah.

Di Kedah, 18 kerusi Dun dimenangi Pakatan Harapan, Pas 15 dan baki tiga lagi oleh BN, manakala Perak yang mempunyai 59 kerusi Dun memyaksikan Harapan menguasai 29 kerusi, BN (27) dan Pas (tiga).