ALOR SETAR -  Lebih 49,000 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah yang layak, mengundi bagi memilih kepimpinan peringkat pusat dan cabang pada pemilihan parti itu hari ini.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Kedah, Zamri Yusof berkata proses pengundian bermula 10 pagi ini di kesemua pusat mengundi di 15 cabang di negeri ini dan proses itu berjalan lancar setakat ini.

Beliau berkata kira-kira 2,000 calon bertanding untuk merebut jawatan ketua cabang, timbalan ketua cabang, naib ketua cabang, anggota jawatankuasa serta kepimpinan wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri ini.

"Terdapat juga pertandingan empat penjuru bagi jawatan Ketua Cabang di Sungai Petani dan Padang Serai. Selain itu, kebanyakan jawatan Ketua AMK cabang di  negeri ini menang tanpa bertanding," katanya di pusat pengundian Cabang Alor Setar hari ini.

Sehubungan itu, Zamri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri meminta kesemua ahli PKR Kedah keluar mengundi sebelum 5 petang ini untuk memilih kepimpinan parti yang mereka rasa layak menerajui parti itu. - Bernama