PUTRAJAYA - Meskipun mempertaruhkan calon Perdana Menteri kelapan di Parlimen Port Dickson, laluan PH untuk mengembalikan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Parlimen tidak semudah disangka.

Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, ini kerana sebahagian besar penduduk kawasan peranginan itu didiami pasukan tentera.

"Kawasan itu ramai anggota tentera. Isunya adakah mereka akan mengundi PH setelah biasa mengundi BN?" katanya.

Beliau juga mengakui, Port Dickson yang terkenal dengan jolokan Bandar Tentera Diraja itu juga tidak sinonim dengan Anwar.

"Kawasan PD bukan sinonim dengan Anwar," katanya.

Selain itu, menurutnya, PH juga perlu memikirkan strategi terbaik bagi menangani calon pembangkang.

"Ini adalah antara cabaran yang perlu kita hadapi dalam PRK kali ini," katanya dalam temubual eksklusif bersama Sinar Harian hari ini.

Shamsul Iskandar yang juga Timbalan Menteri Industri Utama berkata, bagi menempuh cabaran tersebut, Harapan perlu menggerakkan jentera untuk meyakinkan rakyat.

"Kita perlu meyakinkan mereka bahawa Harapan meletakkan calon perdana menteri di kawasan mereka," katanya.