GEMAS - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat supaya mengikis sikap mempertahankan pemimpin yang melakukan kemungkaran biarpun mempunyai pegangan agama dan budaya yang sama.

Beliau berkata rakyat seharusnya bijak membezakan baik dan buruk dalam mempertahankan seseorang itu dan bukan berdasarkan faktor bangsa, budaya dan agama yang sama.

"Sikap rakyat sekarang ini tidak mengapa mempertahankan individu yang sudah melanggar hukum agama seperti merompak duit rakyat, rasuah asalkan adat, agama, budaya kita sama,” katanya ketika berucap pada majlis Agenda Malaysia Baharu di padang Felda Jelai 4 di sini, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi PKR negeri, Aminuddin Harun yang juga Menteri Besar dan Adun Seri Setia, Halimey Abu Bakar.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan hak Felda dapat dikembalikan dalam masa terdekat dan membaik pulih semula kerosakan yang dilakukan oleh kerajaan lama dahulu.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan melakukan pembaharuan dengan memulihkan kerosakan dan mengembalikan semula hak Felda yang diseleweng sebelum ini. - Bernama