KEMAMAN - Di saat semua rakyat kini sedang menanti penuh debar pengumuman calon yang bakal bertanding pada PRU14 nanti, tumpuan di Parlimen Kemaman terarah pada kerusi panas N30 Kijal.

Kerusi Dun Kijal itu menjadi topik bualan hangat ekoran penyandangnya, Datuk Seri Ahmad Said yang juga mantan menteri besar sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan yang mengundang tanda ramai tanya mengenai karier politiknya.

Ketika berucap pada perbahasan Bajet Terengganu 2018, Disember lalu, Ahmad mengejutkan Sidang Dun apabila mengatakan itu adalah ucapan terakhirnya sebelum PRU14.

“Ini mungkin barangkali ucapan terakhir saya sebagai Adun Kijal dan saya berharap bahawa Kijal akan terus jadi ‘fixed deposit’ kepada BN,” katanya.

Kejutan itu membuatkan status karier politik ‘anak Tok Nyadat’ itu sehingga sekarang masih menjadi teka teki sama ada beliau masih bertanding atau tidak dalam PRU14 yang berbaki tiga minggu lagi.

Namun, dalam keadaan teki teki yang masih belum bernokhtah itu, rakan pimpinan BN, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan rakyat akar umbi secara terbuka memberitahu bahawa khidmat Ahmad masih ditagih.

Ahmad Shabery yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno dan penyandang kerusi P40 Parlimen Kemaman menyatakan sokongan terbuka beliau supaya Ahmad yang juga Ketua Umno Bahagian Kemaman disenaraikan bertanding bagi mengekalkan kerusi Dun Kijal pada PRU14 bulan depan.

Ahmad Shabery yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman berkata, Ahmad banyak menabur jasa kepada Terengganu dan langkah meletakkan Adun Kijal itu sebagai calon boleh membuka peluang besar untuk BN mengekalkan kerusi berkenaan.

“Kita tak rela melihat kerusi Parlimen Kemaman dan Dun Kijal jatuh ke tangan pembangkang, justeru saya berharap Datuk Seri Ahmad Said dikekalkan untuk mempertahankan kerusi Dun Kijal,” katanya.

Sokongan itu dinyatakan ketika beliau berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Dun Kijal di Pantai Teluk Kalong pada Jumaat lalu.

Ahmad Shabery turut menyatakan kekaguman terhadap perjuangan Ahmad kepada Terengganu dan daerah ini kerana dengan kerja keras Ahmad dan barisan pemimpin lain, rakyat sendiri dapat saksikan pelbagai pembangunan termasuk Kemaman.

Ahmad (tengah) turut hadir sepanjang tiga hari Karnival Usahawanita 2018 dan Road to MAHA 2018 yang diadakan di Pantai Kuala Kerteh baru-baru ini.

Ia termasuk projek Hospital Kemaman yang kerja tanahnya sedang rancak dilaksanakan, projek Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah baharu dan rumah kakitangan awam di Bandar Baru Kijal.

Jika rakan pemimpin pun tidak mahu ‘kehilangan’ Ahmad apatah lagi bagi rakyat khususnya rakyat Kijal sendiri.

Ismail Mamat, 51, dari Kampung Padang Kubu berkata, Dun Kijal masih memerlukan Ahmad yang bukan sahaja banyak membawa pembaharuan di kawasan itu malah karakter Ahmad yang berjiwa rakyat dan sempoi membuatkan rakyat merasa sangat rapat dengan tokoh berusia 61 tahun itu.

“Beliau rapat dengan rakyat terutama orang kampung tanpa kira umur dari orang tua hinggalah kanak-kanak.

“Sikapnya yang tidak terlalu pentingkan protokol juga buatkan rakyat tak segan nak dekatinya.

“Dari segi pembangunan pula, kawasan pedalaman seperti Padang Kubu pun tak ketinggalan ada projek pembangunan, ada rumah mampu milik dan masjid pun dah dibesarkan,” katanya.

Sementara itu, Zaenatun Mahmud, 47, dari Kampung Bukit Anak Dara berkata, Ahmad perlu dikekalkan agar rakyat dapat merasai pembangunan di Bandar Baru Kijal yang sedang rancak dijalankan sekarang.

“Banyak rancangan Datuk Seri Ahmad untuk anak watan Dun Kijal. Kami masih mahukan beliau sebab setakat ini tak ada calon yang lebih baik daripadanya,” katanya.

Che Ku Noralaili Che Ku Long, 49, pula berkata, sikap ramah Ahmad membuatkan rakyat tidak merasa jurang untuk mendekati beliau.

“Susah nak cari pemimpin berjiwa rakyat yang banyak bawa pembaharuan seperti beliau. Jadi diharapkan beliau masih kekal jadi calon Dun Kijal,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad ketika ditemui terus membiarkan persoalan mengenai kedudukannya menjadi teka teki apabila enggan mengulas mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, Pemuda dan Puteri Umno Dun Kijal masih setia bersama Umno dan BN meskipun sebelum ini terdapat tuduhan kononnya kedua-dua sayap itu mempunyai masalah.

“Perarakan yang melibatkan lebih 1,200 buah motosikal pada pelancaran Jentera PRU14 Dun Kijal menjadi bukti bahawa Pemuda dan Puteri Umno Dun Kijal tiada masalah dan akan menjadi membantu memastikan kemenangan BN di kerusi ini,” katanya.