SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dinasihatkan agar menerima pandangan dan keputusan dibuat Pakatan Harapan berhubung kerjasama politik dengan Pas.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, sebarang tindakan yang bercanggah dengan keputusan dicapai Pakatan Harapan hanya akan menimbulkan masalah lain.

“Selagi Azmin tidak berikan kami satu penghujahan dan penjelasan yang boleh meyakinkan kami bahawa keputusan itu (berunding dengan Pas) adalah sesuatu yang perlu diteruskan, kita juga berhak mempunyai pandangan masing-masing.

“Bagaimanapun, itu hak Azmin hendak beri pandangan (berunding dengan Pas) sedemikian. Pakatan Harapan sudah buat keputusan dan ia muktamad,” katanya.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Azmin, bahawa tindakan beliau untuk berunding dengan Pas adalah tepat. Ia susulan kenyataan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersetuju hubungan PKR dengan Pas diteruskan.

Khalid memberitahu, pandangan Azmin itu bagaimanapun tidak akan sesekali memecahbelahkan parti yang bergabung dalam Pakatan Harapan.

“Betul atau salah itu keputusan masing-masing. Kami berpegang pada keputusan yang telah dicapai. Kalau tidak berpegang pada keputusan itu dan masing-masing hendak buat ikut suka, masalah lain akan timbul.

“Azmin juga menghormati keputusan tersebut, jadi kami anggap masalah ini selesai. Nak (teruskan) berunding dengan Pas, itu pandangan beliau. Kita sudah berbahas dan berbincang  hampir tiga jam, saya rasa wajarlah Azmin terima pandangan rakan-rakan yang lain.

Majlis Presiden Pakatan Harapan sebelum ini mengekalkan pendirian tidak akan bekerjasama dengan Pas untuk menjatuhkan BN pada PRU14.

Terdahulu, terdapat usaha daripada PKR untuk berbincang dan memujuk Pas bagi mewujudkan kerjasama politik menjelang PRU14.

Azmin, bagaimanapun berkata, usaha dan perbincangan tersebut merupakan inisiatif daripada PKR dan bukannya atas kapasiti Pakatan Harapan atau komponen lain.

Pas juga menegaskan parti itu tidak akan menyertai Pakatan Harapan, sebaliknya sedang memperkasakan blok pembangkang ketiga bagi menghadapi PRU14.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan yakin konsep dan prinsip penyatuan merupakan elemen penting kepada kelangsungan survival politik Melayu dan Islam.
  • PUTRAJAYA - Kelewatan pendaftaran Pakatan Harapan dikaitkan dengan unsur sabotaj agar gabungan parti pembangkang itu tidak dapat didaftarkan segera.
  • BALING - Pas menyifatkan Pas dan Umno bukannya 'keli dan sembilang' yang tidak boleh disatukan dalam mendaulatkan sebuah kerajaan Islam.
  • SHAH ALAM - Kepimpinan tertinggi Pas hari ini terus berdepan cabaran bukan hanya daripada luar tetapi juga dalam kalangan ahlinya sendiri.
  • BALING - Pas menyifatkan Amanah bukan lawan mereka dalam arena politik tanah air, tegas Naib Presidennya, Idris Ahmad.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.