SHAH ALAM – Pas semakin gila kuasa apabila sanggup menggunakan apa sahaja cara untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang demi memenuhi tuntutan nafsu untuk berkuasa.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, usaha Pas untuk menggulingkan BN sehingga sanggup bersekongkol dengan PKR dan DAP serta mengetepikan isu yang lebih besar ditimbulkan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar membuktikan parti itu sudah terdesak.

Lebih mengelirukan, katanya, apabila kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib bahawa agenda ke Putrajaya lebih penting daripada membahaskan isu mengenai kebebasan beragama.

“Saya rasa Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib perlu kaji semula kenyataan beliau. Jangan sampai ulama gila kuasa dan menghalalkan apa sahaja demi merampas kuasa,” katanya yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional.

Katanya, kenyataan itu boleh menimbul kekeliruan dan menggalak fanatisme, ekstrimisme dan keganasan dalam politik.

Sementara itu, Setiausaha Agung MIC, Datuk S Murugessan berkata, kenyataan itu menunjukkan Pas semakin terdesak apabila parti itu telah terkeluar dari landasan perjuangan mereka untuk menubuhkan negara Islam.

“Pas mestilah ada dasar dan hala tuju untuk diletakkan kepada kemahuan rakyat. Bukan menumpukan untuk menggulingkan BN. Ternyata Pas lebih menumpukan kuasa dari dasar perjuangan mereka,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.