Khairy Jamaluddin
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin

SHAH ALAM - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyifatkan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham tidak faham perasan umat Islam yang membantah filem Innocence of Muslims.

Ahli Parlimen Rembau itu mempersoalkan kenyataan terbaru Koo Ham dalam Twitternya yang mengatakan pemikiran beliau dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir masih dibawah standard.

"Apakah sebab saya nak mempertahankan kesucian Islam dan maruah Muslim saya dianggap low standard? Ini bukti Koo Ham tidak faham perasaan Muslim," katanya.

Menurutnya, kenyataan Koo Ham itu didorong perasaan marah kerana beliau dan Zambry mendedahkan sikapnya yang didakwa prejudis dan anti Islam.

"Apakah Pas juga low standard? Kenapa dia marah sangat," katanya.

Sebelum ini, Koo Ham dalam laman Twitternya didakwa mempersoal rancangan Khairy menganjurkan protes dan menyatakan umat Islam menghabiskan banyak masa dan tenaga mengenai isu berkenaan.