BERA - Ketua cawangan Umno perlu menjadi benteng dan menjawab segala tohmahan serta fitnah pembangkang yang semakin hebat menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata hampir setiap hari ada sahaja berita tidak tepat dan tanpa fakta terhadap kerajaan, yang dikhuatiri boleh menjejaskan anggota parti yang goyah pendiriannya.

"Pembangkang bukan hendakkan kebenaran tapi untuk timbulkan rasa kurang yakin (terhadap Umno). Kalau ada perkara yang rasa tidak yakin, boleh tanya pada pemimpin. Mereka boleh terangkan supaya perkara yang benar boleh dijelaskan kepada anggota.

"Di Bera, saya ingatkan mereka untuk tanya terus kepada saya di dalam kumpulan Whatsapp kerana saya berada di dalamnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perjumpaan Khas Ketua Umno Cawangan-cawangan Bera di Bangunan Umno di sini, hari ini.

Ismail Sabri menambah ketua cawangan juga perlu menunjukkan jati diri dan keyakinan yang tinggi terhadap parti kerana mereka juga berperanan sebagai benteng kerajaan, menjadikan mereka tidak boleh goyah dengan fitnah pembangkang.

“Jika mereka (ketua cawangan) goyah, maka anggota akan lebih goyang daripada mereka," katanya.

Ismail Sabri juga mengingatkan semua ketua cawangan untuk 'memeriahkan' bilik gerakan masing-masing sebagai amaran bahawa UMNO Bahagian Bera telah bersedia untuk menghadapi PRU14 dan terus melipatgandakan usaha menambah bilangan pengundi.

Katanya, sebagai menarik golongan muda terhadap UMNO, pendekatan seperti mengadakan aktiviti riadah boleh dilaksanakan di bilik gerakan.

Selain itu, beliau juga meminta UMNO Bahagian Bera untuk tidak berada dalam keadaan selesa meskipun beberapa siri ceramah perdana anjuran pembangkang sekitar Parlimen itu tidak mendapat sambutan penduduk. - Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperuntukkan RM1.3 billion untuk membangunkan lima projek infrastruktur di Langkawi didakwa kerana takut akan bayang-bayang Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan), Tun Dr Mahathir Mohamad.
  • SHAH ALAM - Parti-parti politik yang akan bertanding pada PRU14 nanti dinasihat meninggalkan cara lapuk yang menggunakan maki hamun, cacian dan serangan peribadi untuk menyerang calon lawan kerana taktik ini sudah ditolak rakyat terutamanya golongan muda.
  • KOTA BHARU - Semua pihak termasuk pengundi di negeri ini perlu yakin bahawa BN Kelantan tidak akan mempertaruhkan calon kaki bodek pada PRU14 nanti.
  • BENTONG - Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bersedia menghadapi Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang jika benar Ahli Parlimen Gelang Patah itu berhajat bertanding di kerusi Parlimen Bentong pada PRU14.
  • JERTIH - BN bukan sekadar mahu menang dalam Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) tetapi perlu menang dengan lebih besar untuk menjadi kerajaan yang lebih kuat, demikian kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Malaysia, Datuk Seri Idris Jusoh.