KLANG - Pimpinan Pakatan Harapan (Harapan) menolak dendam lama terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad demi mencapai kesepakatan.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, walaupun timbul pelbagai isu melibatkan Ketua Umum dan Pengerusi Harapan, kerjasama antara kedua-dua mereka adalah demi kepentingan rakyat.

“Semua pernah ada isu dengan Tun Mahathir, saya sendiri pun ada isu dengan beliau. Dua kali ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semasa Tun Mahathir jadi perdana menteri.

“Tapi kita nak berdendam pun adakah itu lebih penting daripada nak tukar pemerintah yang begitu teruk dan sakit sekarang ini? Kita perlu ketepikan dendam.

“Bagi kita, yang penting sekarang ini gabungan Pakatan Harapan mahu menukar pemerintah. Itu lebih penting berbanding mahu mempersoalkan isu-isu dan dendam lama dengan Tun Mahathir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitri 1438H Parti Amanah Negara Parlimen Kota Raja, semalam.

Mengulas lanjut tentang perkara itu, beliau menjelaskan apa yang penting ialah menjatuhkan pemerintah sekarang yang begitu pincang khususnya berkaitan dasar dalam negeri serta luar negara.

“Kita manusia tetap ada perasaan tapi kita lebih pentingkan masa depan anak cucu kita, malah mengikut perangkaan sekarang ini majoriti rakyat ialah kaum Melayu, kemudian kaum Cina, yang ketiga bukan lagi India tetapi pendatang.

“Soalnya, menyelesaikan masalah pengurusan pemerintah sekarang ini dalam hal pengurusan masyarakat dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, mengulas berkaitan pembahagian kerusi menjelang PRU14  akan datang katanya, Pakatan Harapan akan menentukan pembahagian kerusi antara komponen parti dalam masa terdekat.

“Kalau boleh kita nak bertanding 222 kerusi, tapi Pakatan Harapan ada empat parti komponen. Jadi kita akan bincang pembahagian kerusi.

“Siapa pun yang jadi calon, semua komponen parti lain akan menyokong. Kita tak kisah sekarang ini pertembungan tiga atau empat penjuru pun, Pakatan Harapan adalah satu lambang,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BANDARAYA MELAKA - Pakatan Harapan Melaka menyasar untuk merampas lapan kerusi yang dimenangi BN dengan majoriti tipis pada pilihan raya umum lalu, selain mempertahankan lapan yang kini dimiliki pembangkang dalam usaha menumbangkan kerajaan sedia ada.
  • SHAH ALAM - Perkembangan terbaru situasi politik masa kini, dengan pelbagai isu struktural dan dalaman dalam Pakatan Harapan (Harapan) serta tindakan Pas tidak mahu menyertai mereka, peluang Harapan untuk tewas di Selangor dilihat amat besar.
  • SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Harapan kini berada dalam keadaan tergugat ketika BN sedang melakukan 'serangan' berpanjangan sejak akhir-akhir ini.
  • KUALA TERENGGANU - Beberapa wakil rakyat khususnya dari BN dan Pas yang tidak sehaluan dengan parti masing-masing dijangka akan menyertai Pakatan Harapan menjelang PRU14.
  • SHAH ALAM - Menjelang PRU14 tidak lama lagi, sama ada BN mahupun Pakatan Harapan (Harapan), masing-masing berharap akan dapat menambah ‘koleksi’ negeri untuk pentadbiran mereka.