KUALA LUMPUR - Kesungguhan tawaran Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk mengorbankan kerusinya antara faktor Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih Port Dickson sebagai langkah pertamanya untuk kembali ke Parlimen.

Bukan sekadar itu, Danyal juga turut menawarkan diri untuk membantu Anwar di kawasan peranginan itu.

Anwar berkata, beliau terkesan dengan tindakan Danyal yang mahu bersama sebagai satu pasukan mantap.

"Beliau tak berbicara soal undur (sebagai MP), tapi bicara soal mahu bersama (sebagai) satu pasukan mantap...Beliau mahu terus aktif bersama saya di Port Dickson," lapor Astro Awani.

Menurutnya, beliau telah bertemu dengan Danyal bagi mendengar sendiri sebab bekas pegawai kanan TLDM itu melepaskan jawatan.

"Beliau kata mahu kekal membantu di Port Dickson. Maknanya secara teknikal bukan undur..," katanya.

Anwar berkata, Danyal menyifatkan tawaran itu sebagai penghormatan kepada Port Dickson dan Negeri Sembilan.

"Beliau beri hujah yang baik. Jika diteliti kenyataannya, saya amat terkesan," katanya.