PUTRAJAYA - Pertikaian mengenai pendaftaran parti politik di Sarawak, Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) masih belum berakhir memandangkan Pendaftar Pertubuhan (RoS) diberi kebenaran oleh Mahkamah Persekutuan di sini hari ini untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang mengekalkan pendaftaran parti itu.
Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin mempengerusikan tiga anggota panel sebulat suara membenarkan permohonan RoS untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengetepikan perintah RoS pada 2002 untuk membatalkan pendaftaran Snap berikutan kegagalan parti itu menyelesaikan krisis kepimpinan parti yang berlarutan.
Panel itu, terdiri daripada hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Suriyadi Halim Omar dan Mahkamah Rayuan Datin Paduka Zaleha Zahari bersetuju dengan hujah Peguam Kanan Persekutuan Datin Azizah Nawawi, yang mewakili RoS, bahawa persoalan undang-undang yang timbul untuk penentuan Mahkamah Persekutuan berhubung tafsiran Seksyen 13 dan Seksyen 16 Akta Pertubuhan tidak diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.
Mahkamah Persekutuan perlu menentukan empat persoalan undang-undang dalam prosiding rayuan termasuk soalan mengenai sama ada di bawah Seksyen 16 dibaca bersama Seksyen 13 (2) Akta Pertubuhan 1966, Pendaftar Pertubuhan hendaklah bertindak secara mekanikal atau mempunyai budi bicara untuk membatalkan pendaftaran sesuatu pertubuhan sekiranya syarat-syarat Seksyen 16 (1) tidak dipatuhi.
Persoalan undang-undang lain adalah sama ada di bawah Seksyen 16 dibaca bersama Seksyen 13 Akta Pertubuhan 1966, Pendaftar Pertubuhan dikehendaki untuk memberikan alasan-alasan bagi keputusan beliau membatalkan pendaftaran sesuatu pertubuhan sekiranya syarat-syarat di bawah Seksyen 16 (1) tidak dipatuhi.
Pada 23 Jun 2010 Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan rayuan Snap oleh timbalan presiden ketika itu Datuk Justin Jinggut untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya bagi mengetepikan keputusan RoS bagi membatalkan pendaftaran parti itu.
RoS membatalkan pendaftaran Snap pada 5 November 2002 berikutan kegagalan parti itu menyelesaikan krisis kepimpinan parti yang berlarutan sejak April 2002 dan kecewa dengan anggota jawatankuasa tertinggi parti kerana pertikaian isu dalaman.
Jinggut kemudiannya memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan RoS tetapi ditolak Mahkamah Tinggi pada 15 September 2006.
Kepimpinan parti itu berpecah dua antara puak bekas presiden parti Datuk Amar James Wong Kim Min dan mendiang Datuk Seri Peter Tinggom, bekas naib presiden parti, yang kemudiannya menubuhkan parti baru, Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).
Ditubuhkan pada 1961, Snap pernah menjadi parti komponen Barisan Nasional Sarawak. Presidennya sekarang ialah Stanley Jugol. - Bernama
Kes Snap: RoS dibenar rayu
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini.
Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.





