BAGAN SERAI - Pemuda Pas Perak yakin agenda penyatuan Melayu dan agama Islam bakal menjadi dua perkara utama dibincangkan dalam Muktamar Pas ke-64 di Kuala Terengganu bermula 14 September ini.

Malahan, sayap parti Islam itu turut tidak menolak kemungkinan muktamar kali ini akan membincangkan bentuk kerjasama politik antara Pas dan Umno secara lebih serius pada masa hadapan.

Ketuanya, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, keyakinan itu berdasarkan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas PRU14 yang banyak kali mengulangi kesediaan bekerjasama dengan sesiapa sahaja asalkan sanggup membantu memartabatkan Islam sebagaimana diperjuangkan parti itu selama ini.

Malahan, pada sesi kempen memperkenalkan calon PRK Dun Seri Setia baru-baru ini, beliau menegaskan Abdul Hadi sekali lagi menyebut mengenai soal kerjasama politik ke arah penyatuan dua agenda besar itu.

"Jadi saya yakin, dalam ucaptama dan perbahasan muktamar Pas, perbincangan antara perwakilan muktamar sudah pasti akan ke arah itu dan secara tidak langsung agenda kerjasama politik antara Pas dan Umno mungkin akan turut dibahaskan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kerjasama Pas-Umno untuk kebaikan Melayu Islam]

"Dalam hal ini, bila Umno sudah elok, berubah, kita patut sambut tangan dihulurkan Umno di mana kerjasama politik boleh dilaksanakan di bawah satu gagasan baharu tanpa mengadaikan prinsip politik masing-masing," katanya sewaktu menjadi tetamu Sinar Live hari ini.

Mohd Akmal berkata, pihaknya turut menjangkakan keputusan sama ada akan terbentuk satu kerjasama politik dengan Umno secara rasmi di bawah satu gagasan hanya akan diumumkan Abdul Hadi pada persidangan muktamar Pas kelak.

Menurutnya, jika perkara itu menjadi realiti, pihaknya tidak menolak kemungkinan kepimpinan tertinggi Pas akan turut memberikan penjelasan tuntas mengenai konteks bagaimana bentuk kerjasama yang akan dilaksanakam kepada ahli perwakilan parti.

"Selepas persidangan muktamar Pas, mungkin kepimpinan Pas atau Umno Pusat boleh mengadakan sesi penerangan turun ke negeri, negeri turun ke cawangan bagi menjelaskan objektif bentuk kerjasama antara dua parti itu demi mengukuhkan keyakinan mereka.

"Mereka perlu difahami bentuk kerjasama bukan secara menggadaikan prinsip sebagaimana berlaku pada BN sebelum ini, sebaliknya demi kesejahteraan Islam dan ketuanan Melayu," katanya.