SHAH ALAM - Kerjasama di antara Pas dan Umno pada hari ini tidak lagi menjadi tanda tanya setelah pimpinan kedua-dua parti saling menyatakan sokongan khususnya pada PRK Dun Seri Setia.

Jika kerjasama itu agak kabur sewaktu PRK Dun Sungai Kandis sebelum ini, namun kini penyokong kedua-dua parti mungkin sudah jelas berkenaan pendirian pimpinan mereka, setidak-tidaknya melihatkan kehadiran Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang hadir bersama pimpinan Pas ketika hari penamaan calon bagi PRK Dun Seri Setia, kelmarin.

Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, kehadiran Ismail Sabri dan beberapa pimpinan Umno lain jelas sebagai tanda sokongan kepada calon Pas, Dr Halimah Ali dan ia menunjukkan kebersamaan dalam konteks pembangkang untuk merampas kerusi Dun Seri Setia.

“Kerjasama ini bagi saya bukan perkara baharu, walaupun sebelum ini kerjasama antara Umno dan Pas tidak begitu jelas, namun dengan kehadiran pimpinan Umno semasa penamaan calon, ia menunjukkan kerjasama formal malah hubungan yang lebih konkrit antara Umno dan Pas.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kerjasama Pas, Umno tak ke arah gabung parti]

“Kini, kerjasama antara Umno dan Pas tidak lagi secara sembunyi-sembunyi, dan dalam konteks ini saya melihat ia akan menjadi trend politik baharu bagi kedua-duanya untuk masa akan datang,” katanya kepada Sinar Harian.

Namun begitu, Ahmad Marthada beranggapan, kerjasama yang wujud antara kedua-dua parti itu masih belum mampu untuk menewaskan PH dalam perebutan kerusi Dun Seri Setia, 8 September ini.

Katanya, selain berdasarkan jumlah majoriti yang besar pada PRU14 lalu, faktor pola sokongan pengundi kawasan bandar yang dilihat condong ke arah PH juga menyebabkan Pas sukar untuk merampas kerusi itu.

“Malah pada PRK Sungai Kandis sebelum ini, walaupun pertembungan satu lawan satu dan ia adalah kawasan luar bandar, pembangkang masih sukar mencabar PH

“Apatah lagi untuk merampas kerusi Seri Setia kali ini, di mana ia kawasan bandar atau separa bandar, dan kita tahu kebanyakan pengundi di kawasan bandar adalah mesra PH,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani melihat kerjasama antara Umno dan Pas adalah satu bentuk realiti politik di mana ia menjadi keperluan untuk mendapatkan sokongan lebih besar.

“Ia satu realiti dalam politik Malaysia di mana adanya kerjasama di kalangan parti politik pembangkang, malah kita tahu dulu pun ketika BN memerintah, pembangkang juga terpaksa bergabung.

“Kerjasama ini normal pada parti-parti  bertanding untuk perkuatkan sokongan terhadap mereka, jika berpecah sudah pasti undi akan berpecah dan peratusan untuk menang kecil,” katanya

Mengulas impak kerjasama Umno-Pas dalam konteks PRK Seri Setia, Mohd Azizudin melihat ia mungkin mampu mengurangkan jumlah majoriti namun masih sukar untuk menang.

“Jika kita lihat pada PRK Sungai Kandis, peratusan keluar mengundi dan majoriti dimenangi PH berkurang (berbanding PRU14), tapi secara peratusan ia masih satu angka yang tinggi.

“Jadi kemungkinan pola yang sama akan berlaku di PRK Dun Seri Setia, 8 September nanti jika faktor jumlah majoriti undi diambilkira,” katanya.