KUALA LUMPUR - Kerajaan didakwa gagal menunaikan janji untuk membina satu juta rumah mampu milik sebagaimana dinyatakan dalam manifesto PRU13.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, sehingga Jun 2017, hanya 934 unit rumah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) diserahkan kepada pemilik.

"Selepas lebih kurang lima tahun, tiba masanya untuk kita kaji semula janji-janji BN terutama PR1MA.

"Jawapan yang diberi amat mengejutkan kerana daripada jumlah yang dinyatakan ia hanya 0.2 peratus daripada janji manis yang ditaburkan kepada golongan muda," katanya dalam satu sidang media di Parlimen.

Tze Tzin pada Isnin lalu bertanya kepada perdana menteri berapa jumlah rumah PR1MA yang siap dibina dan diserah kunci kepada pemilik sejak penubuhan hingga Jun 2017.

Menurutnya, daripada jawapan itu, ia suatu pembohongan yang cukup dahsyat kerana golongan muda masih menunggu kerajaan membantu mereka.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim memaklumkan kepada Dewan Rakyat sejak penubuhan PR1MA pada 2013 sehingga kini, kira-kira 8,475 unit rumah siap dibina.

Daripada jumlah itu, 934 unit rumah PR1MA telah diserah kepada pemilik, manakala selebihnya masih lagi dalam proses serahan kunci.

Pada masa sama 136,685 unit rumah sedang dalam pembinaan.

"BN sebenarnya terdesak menubuhkan PR1MA demi memenangi undi orang muda," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR SETAR - Status quo pembahagian kerusi bagi kawasan ditandingi parti komponen BN Kedah setakat ini kekal dan tiada perancangan untuk mengubah status quo yang diguna pakai PRU13 lalu.
  • SHAH ALAM - Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diibaratkan seperti katak di bawah tempurung apabila mempersoalkan kegagalan kerajaan pusat menyediakan rumah mampu milik untuk golongan belia di negara ini.
  • YAN - Kerajaan persekutuan didakwa mengabaikan tanggungjawab dan perhatian kepada Kedah walaupun ditadbir oleh parti pemerintah yang sama.
  • SUNGAI PETANI - Calon BN pada PRU13 wajar disiasat sama ada berbelanja melebihi had dibenarkan bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.