KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan mendakwa wujud percubaan daripada kerajaan untuk menyembunyikan dan menggelapkan situasi sebenar berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada diketahui umum.

Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau kesal dengan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat kerana sekali lagi menolak pertanyaan berkaitan 1MDB semalam.

Katanya, ia mengulangi tindakan di sesi sebelum ini apabila hampir 30 soalan ahli parlimen berkaitan 1MDB juga ditolak dengan alasan tidak munasabah.

“Apa yang berlaku hari ini adalah tindakan terdesak kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak memperalatkan pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dengan menghalang soalan dikemukakan dalam parlimen.

“Ia menutup ruang bagi mendapatkan jawapan dan menghalang parlimen berfungsi sebagai institusi semak imbang ke atas rasuah, penyelewengan, penggelapan dana awam dan amalan kleptokrasi yang menjadi teras kebobrokan yang menjijikkan di bawah kepimpinan Najib,” katanya dalam sidang media, di Parlimen hari ini.

Menurutnya, turut dikesali apabila empat soalan dalam pertanyaan lisannya ditolak.

“Saya menuntut jawapan kepada persoalan isu pengenaan kompaun Bank Negara Malaysia ke atas 1MDB, isu pematuhan 1MDB terhadap penarikan balik pelaburan oleh Bank Negara dan isu membawa pulang kembali aset-aset yang dirampas oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ),” katanya.

Beliau berkata, susulan penolakan soalan tanpa alasan munasabah itu, pembangkang pernah mengemukakan suatu usul di bawah Peraturan 99 Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi menyemak dan menentang keputusan Yang Dipertua.

“Menurut Peraturan 99 itu, ia memadai dengan usul bersendiri seorang ahli. Namun kami telah mengemukakan usul bersendiri itu dengan ditandatangani oleh lebih daripada 60 ahli parlimen pembangkang merangkumi PKR, DAP, Amanah, Bersatu, Warisan serta Pas, bagaimanapun, usul itu ditolak tanpa alasan,” katanya.

Katanya, pertanyaan jawab lisan yang dikemukakan semalam adalah bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan Bank Negara Malaysia tentang cadangan Peguam Negara untuk menjalankan pendakwaan jenayah di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (ECA) atas kesalahan pelanggaran Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 sehingga dikenakan kompaun RM115.8 juta.

“Kenapa pertanyaan saya ditolak? Isu-isu dibangkitkan bukan hanya berkaitan kompaun yang dikenakan Bank Negara terhadap 1MDB dan penarikan balik pelaburan, tetapi juga tindakan perundangan terhadap kesalahan jenayah 1MDB.

“Sudah dua tahun berlalu, kenapa pejabat Peguam Negara tidak bertindak atas cadangan Bank Negara? Apakah ini merupakan langkah terkini bagi menutup pendakwaan melibatkan skandal 1MDB?,” soalnya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.