Muzakarah: Nik Aziz letak syarat, sebelum PRU
Nik Aziz Nik Mat

SHAH ALAM - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan pertemuan beliau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, yang memfokus isu kontroversi kenyataan Ketua Pembangkang itu didakwa menyokong kepentingan Israel baru-baru ini.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau dimaklumkan Nik Abdul Aziz sendiri akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenainya.

"Mungkin pagi ini atau tengah hari ini. Kemungkinan hari ini, Tok Guru (Nik Aziz) sendiri akan mengeluarkan satu kenyataan," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online pagi ini.

Katanya, kenyataan Nik Abdul Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, menyusuli kenyataan yang telah dibuat oleh Anwar, semalam.

Pertemuan itu diadakan di ibu negara pagi semalam.

Ketika ditemui pemberita selepas pertemuan itu, Anwar memberitahu bahawa Mursyidul Am Pas telah menerima penjelasan beliau berkenaan pendiriannya mengenai kedudukan Israel, yang disiarkan oleh akhbar Wall Street Journal (WSJ), bulan lalu.

Tuan Ibrahim juga hadir pada pertemuan itu.

"Alhamdulillah, pertemuan saya bersama Nik Aziz baik. Kita bukan sahaja membincangkan tentang soal Israel, tetapi mengenai Pakatan Rakyat juga.

"Saya menjelaskan kenyataan saya di Wall Street Journal dan saya turut menyebut tentang reaksi Ketua Hamas, Khaled Mashal. Nik Aziz dengar dan faham pendirian saya. Saya sendiri pun faham pendirian Pas yang tegas tentang Israel, " katanya.

Minggu lalu, Nik Abdul Aziz menggesa Anwar, yang juga Ketua Umum PKR, agar menarik balik kenyataannya berkaitan dengan Israel.

Nik Aziz berkata, jika kenyataan itu disalah lapor salah atau membawa maksud yang berbeza, maka beliau dan seluruh ahli Majlis Syura Ulama menasihatkan Anwar untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman akhbar tersebut bagi membersihkan namanya.

Ketika ditanya sama ada perkara itu dibincangkan terlebih dahulu dengan Majlis Syura Ulama, Tuan Ibrahim berkata, perkara tersebut tidak begitu terdesak sehingga perlu memanggil satu mesyuarat khas.

Katanya, Majlis Syura lazimnya akan bermesyuarat pada minggu kedua setiap bulan.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.