SHAH ALAM - Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa mempersoalkan mengapa masih ada lagi yang khuatir dengan sikap berbaik sesama islam dan organisasi Islam.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, ada juga yang mahukan Umno menjadi parti yang sederhana, ‘party middle-path’ dan sebagainya.

Bagaimanapun menurutnya, sekiranya benar kehendak berkenaan iaitu berpegang pada prinsip kesederhanaan, inklusif, menerima kemajmukan yang sememangnya menjadi dasar Umno, makan tidak perlu menjadikan hubungan antara Umno dan Pas sebagai alasan.

“Kenapa kita khuatiri sikap berbaik sesama islam dan organisasi islam?

“Pas mungkin ada kasalahan di sisi kita… kita juga mungkin ada kesalahan di sisi Pas tapi agama kita mengajar kita supaya bersilaturrahim, bertahaluf, bertaawun dan sebagainya,” kongsinya dalam laman sosial Facebook peribadi miliknya, malam tadi.

Annuar berkata, musuh islam sememangnya gementar sekiranya umat islam kuat berpegang kepada agamanya atau bersatu padu antara satu sama lain.

“Sekiranya kita menolak perkara sedemikian (hubungan antara Umno dan Pas), kitalah sebenarnya yang ekstremis dan pelampau… bukan lagi middle-path, malah extreme left.

“Mereka (musuh islam) mahu kita berpecah, liberal, abai agama dan bangsa agar kita umat islam selamanya di bawah telunjuk mereka,” tegasnya.