Kenaikan gaji MB Selangor tak munasabah

Abdul Shukor Idrus
A
A

SHAH ALAM - Anggota-anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor hari ini menyifatkan kenaikan gaji termasuk elaun kepada menteri besar, speaker dan timbalan speaker seperti yang diputuskan sidang dewan semalam adalah tidak munasabah.      Mereka menyifatkan kenaikan itu sepatutnya perlu dikaji secara mendalam sebelum ia diputuskan kerana peratusan kenaikan itu terlampau tinggi bagi ketiga-tiga jawatan berkenaan.      Adun Kuang Datuk Abdul Shukor Idrus berkata berdasarkan kenaikan gaji dan elaun bagi tiga jawatan itu, timbalan speaker Dun mencatatkan peratusan kenaikan tertinggi iaitu 373 peratus bersamaan RM15,750 sebulan daripada RM3,327.      "Begitu juga dengan gaji menteri besar yang naik 106 peratus iaitu RM29,250 daripada RM14,175 sebulan diikuti gaji speaker Dun yang turut naik mendadak pada kadar 268.3 peratus iaitu kira-kira RM22,500 daripada RM6,109 sebulan, katanya ketika ditemui di luar sidang dewan di sini.      "Bagi saya, kenaikan (bagi ketiga-tiga jawatan ini) tidak mengambil kira denyut nadi rakyat di peringkat bawahan yang masih memerlukan lebih pembelaan daripada kerajaan negeri," katanya.      Sementara itu, Adun Semenyih Datuk Johan Abdul Aziz menyatakan beliau bersetuju dengan kenaikan gaji termasuk elaun bagi Adun di negeri ini pada kadar 87.5 peratus iaitu RM11,250 daripada RM6,000 sebulan seperti mana yang diputuskan oleh Dun semalam.      Kenaikan gaji termasuk elaun kepada Adun itu dilihat munasabah kerana ada sebahagiannya mungkin akan dipulangkan semula kepada rakyat atas peranan serta tanggungjawab seorang wakil rakyat.      "Namun, melihat gaji menteri besar, speaker dan timbalan speaker, kadar kenaikannya jauh lebih tinggi. Sepatutnya kalau semua naik, maka ia peratusannya perlu selaras serta munasabah bagi semua jawatan," katanya.      Ketua Pembangkang Selangor Datuk Mohd Shamsudin Lias pula berkata kenaikan elaun untuk Adun adalah patut kerana wakil rakyat merupakan tempat mereka mengadu termasuk masalah kewangan selain daripada menghadiri majlis kenduri-kendara dan kematian.      Bagaimanapun, beliau berkata kenaikan gaji menteri besar lebih tinggi daripada gaji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tidak patut dan patut dikaji semula.     Adun Batang Kali, Mat Nadzari Ahmad Dahlan pula berkata kenaikan elaun Adun memang patut diberi perhatian kerana telah lama tidak dilakukan semakan dengan keadaan semasa.      Namun, beliau berkata selain daripada menaikkan elaun Adun, kerajaan negeri perlu mengambil langkah meningkatkan hasil negeri kerana pelaburan asing yang masuk ke Selangor sudah berkurangan dan ini bermakna kutipan cukai juga menurun.      Kerajaan negeri juga perlu memikirkan bagaimana untuk menjana lebih peluang pekerjaan kepada anak-anak muda di Selangor, katanya.      Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempertahankan kenaikan gaji beliau, anggota-anggota exco, speaker dan timbalan speaker yang dianggap masih rendah dan munasabah.      Beliau berkata kenaikan gaji antara 80 hingga 400 peratus itu dibuat selepas mengkaji pelbagai faktor, termasuk mengambil kira kenaikan yang diterima Adun serta anggota pentadbiran negeri Sarawak. "Kita naikkan gaji di Selangor ini kerana tidak mahu wakil rakyat kita buat kerja luar untuk tampung perbelanjaan mereka.      "Saya juga berpendapat kenaikan ini munasabah sebab kita hendak servis kepada rakyat. Malah, kalau di sektor swasta, gaji seperti ini tidak tinggi. Kita juga tidak boleh sorok pendapatan sebab kita setuju setiap harta dan pendapatan mesti diumumkan, biar rakyat tahu," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dun Selangor di sini, hari ini.      Abdul Khalid turut menafikan kenaikan gajinya lebih tinggi daripada jumlah yang diterima Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.      "Lebih baik semak betul angka ini... kalau semak boleh jadi (gaji) perdana menteri lebih tinggi. Gaji di Selangor dikira berdasarkan formula 75 peratus daripada kenaikan yang diterima di Sarawak.      "Sebagai contoh kalau gaji ketua menteri Sarawak RM39,000, gaji menteri besar di Selangor ialah RM29,000."      "Selain itu, kita sejak lima tahun lepas dapat kutip hutang yang sebelum ini gagal dikutip kira-kira RM500 juta. Dengan 10 peratus daripada hasil kutipan hutang ini, kita sudah dapat bayar gaji ini," katanya. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

×