SHAH ALAM - Pas sifatkan keputusan kiraan awal pusingan kedua Pilihanraya Gubenur Daerah Khusus Indonesia (DKI) Jakarta 2017 menunjukkan wujud signal yang besar kebangkitan Islam di Indonesia.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, kejayaan Anies Saindiaga menewaskan Ahok Djarot jelas menunjukkan signal kebangkitan Islam di sana.

Menurut Nasruddin lagi, penghinaan Ahok terhadap agama Islam, menyebabkan umat Islam bertindak menolaknya sebagai pemimpin. 

"Pilihanraya Gubenur telah membuktikannya. Kini, semangat yang sama sedang meniti umat Islam di Malaysia. 

"Isu pindaan Akta 355 (RUU 355) disusuli pindaan Akta 164 (RUU 164) membuka mata rakyat di negara ini mengenai siapa sebenar lawan, siapa kawan yang benar-benar memperjuangkan Islam. Justeru, kebangkitan yang sama sedang berlaku dalam pilihanraya umum akan datang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Di atas kertas, Ahok adalah calon utama untuk menang. 

Pusingan pertama PILKADA pada 15 Februari yang lalu menunjukkan Ahok memperoleh 44.17 peratus meninggalkan Anies 39.55 peratus sementara anak bekas Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pula hanya memperoleh 16.27 peratus.

Namun, kiraan awal pusingan kedua kelmarin menunjukkan Anies memperoleh undian jauh meninggalkan Ahok dengan 58 peratus berbanding Ahok hanya 42 peratus.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.