KUALA LUMPUR – Gandingan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar dihidupkan semula seperti zaman kegemilangan sebelum 1998.

Bekas Penasihat Sosio Budaya Kerajaan,Tan Sri Dr Rais Yatim mencadangkan lebih baik jika gandingan ini dihidupkan semula dan sekiranya serasi lanjutkan sehingga habis penggal pentadbiran empat tahun ini sebelum Mahathir menyerahkan sepenuhnya kepada Anwar.

“Lebih baik gandingan Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Anwar dihidupkan semula.

“Malah sekiranya serasi terus habiskan empat tahun, dan kemudian Mahathir serahkan sepenuhnya kepada Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan," katanya ketika ditemui media di Universiti Malaya, di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Cuba gabungan Tun M, Anwar dua tahun: Rais]

Rais berkata, saranan yang dilontarkan beliau ini logik kerana sebelum ini Anwar pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada Dr Mahathir namun, akhir-akhir ini perkhidmatan Perdana Menteri ketujuh itu diharakatkan tempohnya.

“Sekarang ini isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail jadi rakan gandingan Dr Mahathir. Oleh itu, pada saya lebih kena kalau Anwar jadi Timbalan Perdana Menteri.

“Dalam soal penyusunan jadi hal-hal yang berlaku sebelum 1998 boleh disusun balik dan janji-janji yang dikotakan dapat kita serahkan kepada rakyat.

“Saya rasa gandingan Mahathir dengan Anwar sangat bagus dan menyerlahkan apa yang berlaku dahulu malah dapat dipercantik serta diperelokkan,” saran Rais.