BAGAN SERAI - Fenomena wakil rakyat Umno keluar parti ketika ini boleh dilihat sebagai petanda awal berlaku pembentukan gagasan parti politik baharu di negara ini pada masa hadapan.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pembentukan itu berkemungkinan berlaku apabila beliau melihat pendirian beberapa wakil rakyat Umno berubah selepas kerjasama politik secara ta’awun dengan Pas pada Muktamar Pas ke-64, minggu lalu.

“Secara peribadi, saya tidak mempunyai maklumat mengenai senario wakil rakyat Umno keluar parti dan tidak pasti sama ada lebih ramai lagi ahli parlimen parti akan berbuat demikian pada masa hadapan.

“Bagaimanapun, saya jangka banyak pemimpin akan membuat keputusan besar sama ada meninggalkan parti dengan menyertai parti baru atau bersama parti diwakili membentuk gagasan baru dengan parti lain demi kelangsungan politik negara,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Menurutnya, jangkaan kesan besar akibat pemilihan PKR melibatkan jawatan Timbalan Presiden parti itu antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli serta keputusan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding PRK Parlimen Port Dickson juga dipercayai menjadi penentu keputusan wakil rakyat berkenaan.

“Ada kemungkinan juga satu parti gagasan baharu diterajui parti Melayu dan Bumiputera akan terbentuk disebabkan isu berkaitan hak istimewa orang Melayu dan kedaulatan Islam kini yang semakin dipersoalkan pihak tertentu di negara ini,” katanya.

Dr Noor Azmi berkata, selain senario ketidaktentuan berlaku dalam landskap politik tanah air, pihaknya turut melihat masalah ketidaktentuan prestasi ekonomi negara di bawah pimpinan kerajaan PH mungkin menjadi faktor sebahagian 'otai' ahli parlimen Umno harus membuat satu keputusan politik drastik demi kepentingan negara.

Menurut bekas wakil rakyat Umno yang kini Bebas itu, berdasarkan laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi suku tahun pertama dan kedua 2018, rakyat dapat melihat prestasi pertumbuhan ekonomi negara merudum dari 5.4 peratus pada suku pertama 2018 kepada 4.5 peratus pada suku kedua tahun sama.

“Pada masa sama, kerajaan PH dilihat lebih gemar mencungkil kesalahan kerajaan BN terdahulu berbanding berusaha menunaikan janji manifesto 100 hari selepas PRU yang dikemukakan kepada rakyat.

“Bila ketidaktentuan prestasi ekonomi negara dan kerisauan rakyat terhadap kelemahan kerajaan PH mentadbir negara semakin terserlah, saya jangka mungkin ramai ahli politik senior timbul kesedaran untuk bergabung tanpa mengira perbezaan politik demi menyelamatkan negara,” katanya.

Dr Noor Azmi berkata, terdapat kemungkinan pembentukan gagasan politik baharu tersebut boleh mengubah landskap politik negara secara menyeluruh termasuk pengambilalihan pentadbiran negara dari tampuk kerajaan PH ketika ini.

“Cuba lihat parti yang bertelingkah selama ini akhirnya boleh bersatu seperti PKR diterajui Anwar,  Bersatu diterajui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dan DAP dipimpin Lim Kit Siang semata-mata untuk menumbangkan BN dan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak).

“Tidak mustahil demi kelangsungan Melayu dan Islam, ada kemungkinan parti-parti seperti PKR, Umno dan Pas atau Bersatu, Umno dan Pas akan bergabung sesama mereka untuk membentuk gagasan baru mentadbir kerajaan pusat kelak,” katanya.

Menurutnya, namun langkah sedemikian dipercayai turut memerlukan sokongan parti-parti peribumi di Sarawak dan Sabah untuk direalisasikan pemimpin parti berkenaan.

Ditanya sama ada kebanyakan pemimpin Umno yang keluar parti akan mengikut jejak langkah tiga bekas Ahli Parlimen Umno termasuk dirinya kekal menjadi wakil rakyat bebas sehingga kini, Noor Azmi menyifatkan keputusan mereka tidak akan kekal.

“Saya percaya kebanyakan mereka sudah bersedia untuk menyertai wadah politik baru dan senario berlaku ini dipercayai satu percaturan ke arah pelaksanaan keputusan politik lebih besar.

“Secara peribadi, apabila saya mula-mula keluar parti, saya difahamkan ramai pemimpin Umno akan ikut jejak langkah saya tetapi akhirnya sebahagian besar mereka ‘keberatan’. Kini jangkaan saya ternyata tepat,” katanya.

Dr Noor Azmi turut menolak dakwaan keputusan wakil rakyat Umno keluar parti ketika ini disebabkan terpengaruh tawaran wang tunai RM20 juta seperti didakwa Ketua Umno bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos, baru-baru ini.

“Dalam keadaan ekonomi negara berdepan risiko lebih banyak pelabur ‘lari’ pada masa hadapan, saya nampak banyak ahli parlimen senior lebih berminat untuk bergabung menyelamatkan ekonomi negara berbanding kepentingan peribadi,” katanya.