KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Kelibat bekas calon BN pada PRU14 lalu yang dikatakan akan menyertai Amanah pada malam ini, tidak kelihatan.

Sebelum itu, desas-desus mengenai penyertaan pakar motivasi itu bertiup kencang, malah laman facebook rasmi Amanah turut memberi bayangan akan penyertaan tokoh itu.

Pakar motivasi itu dikatakan akan berbuat demikian dalam Majlis Makan Malam Amal Pemuda Amanah Terengganu di Terengganu Equestrian Resort, malam ini.

Bagaimanapun sehingga jam 11.30 malam tadi, kelibatnya tidak kelihatan, sebaliknya dua peguam terkemuka iaitu Datuk Zamani Mohamad dan Zulkifli Yong diumumkan menyertai parti itu.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menafikan tentang penyertaan rasmi pakar motivasi berkenaan ke dalam parti itu.

"Tak, secara rasminya dia tidak ada (sertai Amanah). Tiada dalam rekod kami. Pada malam ni dua peguam terkemuka sahaja yang sertai Amanah iaitu Datuk Zamani Mohamad dan Zulkifli Yong.

"Ramai tetamu yang dijemput hadir malam ini. Tapi ada yang datang, ada yang tak datang," katanya.

Ketika ditanya tentang rundingan bersama bekas calon BN itu, Raja Bahrin berkata, banyak rundingan yang dibuat dengan pelbagai pihak sehingga menimbulkan banyak spekulasi yang tidak dapat dielak.