PUTRAJAYA - Menteri Wilayah, Khalid Samad mengakui kehidupannya menjadi teruk dan sibuk sejak dilantik mengganggotai Kabinet.

Baginya, menjadi ahli parlimen biasa adalah lebih baik berbanding memegang jawatan sebagai menteri.

"Saya pernah menjadi jurutera Petronas dahulu, tetapi ia tidaklah seteruk ini (menjadi menteri)," katanya.

Menurutnya, kehidupan yang sibuk menjalankan  tugas dan  memenuhi jemputan adakalanya menyebabkan beliau terlupa mengenai hari dan tarikh.

"Sejak dilantik sebagai menteri, ini adalah masa paling sibuk dalam hayat saya sehinggakan tidak kenal hari bekerja mahupun cuti umum," katanya.

Beliau berkata, mengambil alih dan menggalas tanggungjawab pada usia 60 tahun sangat mencabar.

"Sepatutnya sudah fikirkan pencen, tetapi kita terpaksa ambil alih tugas," katanya pada ucapan perasmian Konvensyen Amanah Wilayah kali ketiga di sini, semalam.

Khalid berkata, tanggapan mengenai perjuangan PH selesai setelah berjaya menjatuhkan BN dalam PRU adalah salah.

"Saya hendak beritahu, sebenarnya perjuangan baru bermula dan berada dalam fasa baharu," katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, PH kini sedang  membangunkan kerajaan yang bersih, cekap dan amanah dalam pentadbiran.

"Kita mahu wujudkan kerajaan yang bersih rasuah, cekap menguruskan, dan amanah terhadap kekayaan negara," katanya.

Menurutnya, adalah bukan mudah untuk melakukan perubahan mengikut arah tujuan betul.

"Kita mahu lakukan dengan cara terbaik bukan sekadar mengikut cara BN, arah saja," katanya.