PUTRAJAYA - “Kami cuma nak desak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) mempercepatkan pendaftaran Bersatu dan meluluskan Pakatan Harapan (Harapan) secara rasmi, bukannya nak bergaduh, kami tak sabar nak bersemuka dengan BN. 

Gesaan ini dinyatakan Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika sesi penyerahan memorandum kepada wakil ROS bersama 50 Pemuda Harapan daripada setiap komponen hadir ke Kompleks D, Putrajaya. 

Serahan memorandum itu bertujuan mendesak jabatan itu menyegera dan mempermudahkan isu Bersatu sekaligus meluluskan pendaftaran Harapan secara rasmi. 

“Kepada pihak ROS, kami tak ingin bermusuhan atau bergaduh. Bukan itu niat kami, tapi untuk memperjelaskan bagi mencari titik pertemuan supaya boleh luluskan segera dan kami boleh menentang BN dalam PRU14 akan datang.  

“Tak adil jika ROS hanya dengar keluh kesah pihak yang jelas ada agenda tertentu. Pengadu- pengadu itu datangnya daripada rangkaian dedak sistematik," di sini, hari ini. 

Jelasnya, pengadu-pengadu terdahulu sememangnya membuat aduan tersebut datang daripada mereka yang  diupah rangkaian dedak sistematik untuk sabotaj usaha bagi Bersatu melebarkan rangkaian mereka agar kita tidak berentap di kubu kuat Umno sekaligus mengharamkan penubuhan Harapan,” katanya. 

Syed Saddiq turut memohon ROS memberi konsultasi dan kerjasama yang baik kepada Bersatu bagi menyelesaikan isu yang terkait dengan ROS. 

“Difahamkan kononnya terdapat lebih 400 laporan terhadap Bersatu, jadi kami harap supaya setiap salinan laporan itu didedah untuk disahkan adakah lambakan aduan itu sama atau berbeza, juga atas kesalahan apa supaya segala isu dapat diselesaikan. 

“Biar kami periksa kesahihan laporan sama ada benar datangnya daripada ahli berdaftar secara sah atau dedak yang diupah,” tegasnya. 

Dalam pada itu, beliau turut meminta ROS kemukakan maklum balas agar Bersatu dapat menunaikan semua garis panduan dan syarat yang ditetapkan. 

“Apa yang mereka mahukan? Sudah berkali-kali kita hantar surat tapi ROS tak respons.

ROS dengar rungutan sebelah sana saja, saya rasa tak adil. 

“Saya harap ROS akan luluskan pendaftaran kami kerana kami tak sabar nak berentap dengan BN dalam sistem yang adil supaya rakyat boleh mengadili kita semua siapa yang lebih baik,” ujarnya.