PARIT BUNTAR - Penghijrahan beramai-ramai ahli Pas menyertai Amanah Parlimen Parit Buntar tidak berlaku disebabkan paksaan, ugutan atau janji politik untuk kepentingan mana-mana pihak.

Setiausahanya, Adnan Abd Rahman berkata, sebaliknya pihaknya sama sekali tidak pernah mencuri penyokong mahupun ahli Pas kerana penghijrahan itu dilakukan secara sukarela.

“Kami tak curi. Yang nak bersama kami dilakukan secara reda dan rela, tidak ada yang dipaksa, diugut dan diumpan untuk keluar dengan janji-janji.

“Pada masa sama, mereka yang menjadi Ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) juga adalah secara sukarela kerana ingin berkhidmat membantu masyarakat di kampung mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas menerima borang menyertai Amanah daripada 68 orang penduduk Sungai Labu Bawah dalam satu majlis penyerahan borang ahli yang turut dihadiri Ketua Komunikasi Amanah Parit Buntar, Hamdan Fadel Ahmad di Kampung Sungai Labu Bawah di sini, hari ini.

Adnan berkata, penyertaan penduduk terutama ahli Pas ke dalam Amanah kerana keyakinan mereka bahawa kerajaan PH sudah melaksanakan sebahagian besar agenda perjuangan rakyat yang dilaungkan Pas sebelum ini.

“Perjuangan Pas untuk pilihan raya adil dan bersih, kebebasan media, meletakkan SPRM di bawah Parlimen, Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) diketuai ahli Parlimen pembangkang, menghentikan amalan rasuah dan penyelewengan dan banyak lagi berjaya dilaksanakan kerajaan PH.

“Sebaliknya, mereka kecewa dengan Pas bersama dengan Umno yang jelas menyekat kebebasan media, SPR, SPRM dan PAC serta melaksanakan amalan rasuah dan penyelewengan semasa memerintah,” katanya.

Sementara itu, Hamdan Fadel sewaktu ditemui berkata, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) memainkan peranan menggerakkan komuniti kampung untuk melaksanakan pembangunan, kemajuan dan kesejahteraan kampung.

“Penduduk yang ingin menabur bakti dalam komuniti kampung tidak sepatutnya disekat hanya kerana berlainan ideologi politik. Pas sepatutnya menerima hakikat ahlinya tidak dapat menerima arahan untuk menghalang mereka berkhidmat dalam komuniti kampung mereka sendiri,” katanya.

Hamdan menasihatkan ahli jawatankuasa MPKK agar meneruskan khidmat mereka kepada masyarakat tanpa rasa takut dan bersalah.

“Saya percaya Pas hanya melakukan ugutan semata-mata , sebaliknya tidak akan melaksanakan tindakan disiplin kepada ahlinya yang menganggotai MPKK.

“Arahan Pas hanya untuk menakutkan ahli-ahlinya dari menganggotai MPKK dan menyekat kemasukan ahlinya ke dalam parti-parti dalam Pakatan Harapan,” katanya.