SHAH ALAM – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu memberi gambaran sekiranya ahli DAP yang memakai pakaian seragam menyerupai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti yang digayakan Jabatan Amal Pas pastinya lebih teruk dikecam.

Mengulas berkenaan tindakan lanjut Kementerian Pertahanan terhadap perbuatan itu, Mohamad menyatakan isu Jabatan Amal Pas ini akan dibawa ke mesyuarat yang lebih tinggi untuk mencari mekanisme terbaik.

“Kita akan bincang dan bawa ke mesyuarat yang lebih tinggi supaya satu formula dapat ditentukan berkaitan tindakan Jabatan Amal ini.

“Kalau DAP yang pakai uniform sebegitu, tentulah akan dipertikaikan,” katanya kepada Sinar Harian.

[ARTIKEL BERKAITAN: Uniform jabatan amal tak langgar undang-undang]

[ARTIKEL BERKAITAN:  Carilah modal lain kalau benci sangat dengan Pas]

Ketika perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-64 yang berlangsung di Terengganu minggu lalu, Jabatan Amal Pas mengenakan pakaian seragam tentera Malaysia nombor satu mendapat respons negatif daripada Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) yang menggesa Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana memakai pakaian seragam tentera.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pakaian menyerupai seragam tentera Malaysia nombor satu adalah perkara biasa dan tidak melanggar undang-undang.

Takiyuddin turut menjelaskan pakaian tersebut adalah salah satu daripada tujuh pakaian Jabatan Amal.