KUALA LUMPUR - Rakyat perlu ingat jika mengundi pembangkang pada PRU14 kelak, bermakna mereka telah memilih DAP dan Lim Kit Siang sebagai Perdana Menteri.

Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menyoal soalan tersebut semasa memberikan komen ucapan dasar Presiden Umno di Perhimpunan Agung Umno 2017.

"Tepuk dada, tanya selera. mahukah rakyat memilih parti pembangkang di mana PMnya adalah Lim Kit Siang?

"Atau terus berada di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak? Pilihan terletak di tangan rakyat," katanya.

Dalam pada itu, beliau bersama jentera PRU Wanita Umno sudah bersedia menghadapi PRU14.

"Sebab itu kami, Wanita Umno turun padang nak buka mata rakyat tentang Umno ini.

"Walaupun Umno memperjuangkan agama bangsa dan negara tapi sebenarnya parti ini adalah untuk semua," katanya.

Sementara itu, Shahrizat turut menyokong penuh saranan PM mengenai isu Baitulmaqdis dijadikan ibu negara Israel.

"Kita amat menyokong saranan Najib, tindakan mereka itu amatlah tidak bijak malah menghina Islam," tambahnya lagi.