KUALA LUMPUR -  Bukan calon tempatan menjadi punca kekalahan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani kepada pencabarnya, Dr Daroyah Alwi dalam perebutan Ketua PKR Cabang Kapar.

Abdullah memaklumkan beliau baru empat bulan menjadi ahli Parlimen di situ dan tentunya masih kurang menjalin hubungan erat dengan ahli-ahli PKR tempatan.

"Pertama sekali saya baru empat bulan di Kapar, platform saya di Kuala Langat.

"Jadi saya pindah empat bulan, sedangkan calon yang cabar saya empat lokal, mereka ini dah lama bertapak, lahir di situ tentunya ada hubungan keluarga, rakan-rakan, kawan, sahabat handai ramai," katanya kepada Sinar Harian di lobi Parlimen, hari ini.

Selain itu, Abdullah menambah faktor lain  yang menyebabkan beliau tewas  kepada Dr Daroyah kerana pencabarnya itu memiliki produk iaitu program Jom Shopping yang menjadi sumber kekuatan untuk meraih sokongan.

"Dr Daroyah ada produk yang menjadi kunci sokongan, iaitu Jom Shopping. Kunci ini diterap kepada ahli dengan kekuatan itu beliau meraih sokongan daripada penerima-penerima sumbangan.

"Melihat kepada situasi ini, saya dah kenal pasti masalah iaitu ahli ini lebih cenderung kepada sokongan sentuhan peribadi," ujarnya.

Dalam pemilihan Ahad lalu, Abdullah yang merupakan Ahli Parlimen Kapar, tewas pada Dr Daroyah, yang juga Adun Sementa.

Selain Abdullah dan Daroyah, turut bertanding dalam pemilihan kali ini adalah Mohd. Ali Mat Rasid, Mohd Miftahhuddin Abdullah dan penyandang jawatan, Datuk Azizi Ayob.