KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Mutallib menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar mengaitkan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dalam isu politik sebagai suatu perbuatan biadab dan tidak menghormati institusi istana.

Jelas beliau, sebagai sebuah negara demokrasi Mahfuz berhak untuk bercakap mengenai politik namun jadi sesekali bertindak kurang ajar dengan menyamakan Sultan Pahang dengan situasi semasa dalam negara.

"Tak salah kalau nak berpolitik atau menyokong sesiapa sahaja, tapi dia (Mahfuz) sudah melampaui batas dengan menyamakan kedudukan tuanku Sultan Pahang dengan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad...itu memang perbuatan biadab.

"Kedudukan tuanku adalah sebagai raja dan Sultan negeri Pahang, satu kedudukan yang melangkaui sistem politik negara, manakala isu pemilihan Tun M sebagai calon Perdana Menteri isu politik yang tiada kaitan langsung dengan institusi negara," katanya.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Maran berkata demikian ketika mengulas mengenai video satu ceramah bekas pemimpin Pas itu yang cuba membandingkan kedudukan Sultan Pahang dengan isu pemilihan Tun M sebagai calon Perdana Menteri untuk Pakatan Harapan.

Dalam klip video yang menjadi tular di media sosial itu, Mahfuz membidas sikap pemimpin Umno dan BN yang mempersoalkan pemilihan Tun M yang dianggap sudah tua dan mengaitkan pula dengan Sultan Pahang.

Ujar beliau, Mahfuz sebagai seorang pemimpin yang sering mendakwa dirinya berjuang mengikut perjuangan Islam tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan tidak beradab seperti itu semata-mata untuk kepentingan undi dan politik.

Ketua Umno Bahagian Maran itu berkata, banyak lagi cara politik matang yang boleh dilaksanakan dan bukannnya berceramah mengikut hawa nafsu sehingga menyentuh kedaultan raja-raja Melayu.

"Kita boleh berpolitik, berceramah atau berkempen tapi biarlah ikut politik matang dan bukan cara tidak cerdik sampai tuanku pun nak dijadikan contoh.

"Oleh itu, saya menyeru seluruh rakyat terutamanya di Pahang supaya mengecam perbuatan Mahfuz itu dan menolak pemimpin yang tidak mempedulikan kedudukan sultan dan istana dalam masyarakat negara ini," katanya.