SEREMBAN - PKR Negeri Sembilan mengalu-alukan pencalonan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen Port Dickson (PD) jika benar ia akan dikosongkan bagi memberi laluan kepadanya untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) akan datang.

Pengerusi PKR negeri, Aminuddin Harun berkata, pihaknya menyambut baik jika Anwar bertanding di salah satu kerusi di negeri ini, tetapi sehingga kini pimpinan negeri tidak dimaklumkan perkara tersebut sehinggalah laporan mengenainya dilaporkan oleh sebuah portal berita tempatan.

Katanya, sehingga tempoh ini beliau sendiri tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai kekosongan kerusi di Parlimen PD, dan tiada juga maklumat rasmi diberikan kepadanya.

“Setakat ini, belum ada sebarang perbincangan mengenai kekosongan kerusi Parlimen Port Dickson malah Ahli Parlimen (Datuk Danyal Balagopal Abdullah) itu sendiri belum memaklumkan kerelaan beliau untuk mengosongkan kerusi tersebut.

“Sekiranya benar, ini adalah pengorbanan terbesar Datuk Danyal terhadap parti, dan kita akan terus menyokongnya,"katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, sebelum ini banyak kerusi yang ditawarkan kepada Anwar, dan Negeri Sembilan juga tidak terkecuali.

Terdahulu, sebuah portal berita tempatan, hari ini melaporkan Presiden PKR itu akan akan bertanding di kerusi Parlimen PD dalam PRK tidak lama lagi.

Sebagai rekod, Danyal Balagopal merupkan wakil tunggal parti berkenaan yang memenangi kerusi P132 apabila mendapat 36,225 undi dengan majoriti 17,110.

Sementara itu, usaha Sinar Harian untuk mendapatkan pengesahan daripda Ahli Parlimen PD itu gagal, apabila beliau gagal dihubungi.

Difaham satu sidang media akan diadakan oleh Pimpinan Pusat esok di Kuala Lumpur.