KLUANG - Pemilihan Umno kali ini diharap dapat dilaksanakan secara sihat dan dengan penuh semangat kekeluargaan.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pemilihan tersebut diharap tidak ada berlaku serangan peribadi terhadap mereka yang bertanding.

“Jangan kita menang sorak, kampung tergadai. Yang paling penting, dalam kita hendak menawarkan diri dan ada sokongan-sokongan daripada mereka yang menjadi calon, saya harap jangan ada serangan-serangan peribadi.

“Biar pertandingan ini berjalan secara sihat dalam semangat kekeluargaan,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Sembrong, di sini, hari ini.

Hadir sama dalam persidangan berkenaan Timbalan Ketua Umno Bahagian Sembrong, Datuk Abd Ghani Abd Rashid dan Adun Kahang, R Vidyananthan.

Hishammuddin yang mengumumkan diri tidak bertanding sebarang jawatan di peringkat pusat berkata, dengan adanya ramai calon yang bertanding pada peringkat pusat dan bahagian kali ini memperlihatkan sistem demokrasi parti itu meriah.

Beliau yang juga memangku jawatan Timbalan Presiden Umno berkata, itu menunjukkan parti itu masih relevan dengan ramai anggota yang tampil ke hadapan bagi bersama-sama memperjuangkan parti.

Apabila ditanya mengenai debat calon Presiden, Hishammuddin menyifatkan ia sekadar platform dalam menyampaikan input, namun yang paling penting adalah keberkesanan tindakan calon yang bertanding.

“Kita kena tengok pendekatan di luar kotak. Mana yang terbaik yang saya rasa sesuai dengan kehendak ahli kita. Yang penting ialah perjuangan kita,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin sekali lagi menegaskan keputusan beliau untuk tidak bertanding adalah bagi memberi peluang kepada pemimpin lain untuk berkhidmat.