KUALA TERENGGANU - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi mengulangi kenyataannya bahawa soal keselamatan dan kedaulatan negara tidak seharusnya dipandang remeh dan diperlekeh walaupun negara bebas daripada ancaman musuh sejak mencapai kemerdekaan.

Beliau berkata tanpa keselamatan dan keamanan Malaysia tidak akan dapat mencapai kemajuan dan melaksanakan segala dasar pembangunan untuk rakyat.

"Soal keselamatan, kedaulatan amat penting... ia ibu kepada segalanya, kerana tanpa keselamatan segalanya tidak mungkin dapat dilakukan," katanya ketika berucap pada majlis bersama Rela Terengganu yang dihadiri kira-kira 5,000 anggota Rela dari seluruh Terengganu di Taman Tamadun Islam di sini hari ini.

Najib berkata insiden Lahad Datu di Sabah membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah memandang remeh soal kedaulatan negara walaupun ada pihak yang cuba menafikan usaha pasukan keselamatan untuk mempertahankan negara daripada musuh negara.

Menurutnya jauh sekali untuk menyokong usaha anggota keselamatan yang berkorban nyawa untuk negara sebaliknya pemimpin pakatan PKR-DAP-Pas mendakwa apa yang berlaku itu sebagai satu sandiwara BN.

Beliau berkata sampai hari ini pihak pakatan rakyat juga gagal untuk menjelaskan kepada rakyat apa agenda di sebalik pertemuan empat mata antara pemimpin utama pembangkang dengan pemimpin yang tidak senang hati dengan usaha Malaysia di Selatan Filipina.

"Rakyat wajib tahu apa agenda sebalik pertemuan itu," katanya.

Dalam pada itu Najib melahirkan rasa bangga dengan semangat anggota Rela di seluruh negara yang menyokong penuh dasar tranformasi kerajaan termasuk dalam institusi Rela.

Katanya langkah kerajaan menaikkan elaun anggota Rela di seluruh negara turut meningkatkan lagi semangat anggota pasukan itu untuk melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh.

Najib berkata sejak mengambil alih tampuk kepimpinan negara tahun 2009 banyak tranformasi dilakukan dalam institusi Rela sehingga berjaya menarik 2.86 juta anggota hari ini berbanding hanya 540,000 anggota pada tahun 2009 iaitu meningkat 500 peratus.

"Kerajaan telah memperuntukkan 300,000 uniform untuk Rela dan akan menambah peruntukan akan datang sekiranya kerajaan kekal dan saya tahu walaupun saudara saudari memakai baju hijau dan topi kuning, namun hati mereka tetap biru," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyeru semua Ahli Parlimen memberikan sumbangan peribadi mereka untuk membeli pakaian seragam anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di kawasan parlimen masing-masing.
  • PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi ruang seluas-luasnya untuk menyiasat, menggeledah dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam gejala rasuah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.