JOHOR BAHRU - Umno Johor berharap wakil rakyat yang tidak dicalonkan semula dapat menunjukkan sokongan kepada calon PRU14.

Setiausaha Umno negeri, Datuk Md Jais Sarday berkata, mereka juga diharapkan tidak kecewa.

“Kepada mereka yang tidak tercalon semula, saya harap mereka jangan kecewa kerana masa dia calon dulu, orang lain sudah bekerja keras untuk mereka.

“Bukan bermakna tidak menjadi calon itu mengakhiri masa depan kita. Dan kali ini kena tunjukkan supaya kita beri sokongan kepada calon-calon yang telah dipilih,” katanya, semalam.

Md Jais berkata, pemilihan semua calon terbabit termasuklah dari parti komponen bukan dilakukan oleh pengerusi badan perhubungan, sebaliknya parti di peringkat tertinggi.

“Jadi saya harap mereka akan dapat berikan kerjasama untuk menjayakan BN di Johor ini,” katanya.

Ditanya sama ada wujudnya ahli yang mensabotaj atau melawan parti pada pilihan raya kali ini, beliau berkata, secara automatik individu terbabit melanggar perlembagaan parti dan akan diambil tindakan.

“Tapi apa-apa pun berasas kepada tindakan mereka. Kalau setakat dia cakap dan sebagainya, itu belum (melanggar perlembagaan parti).

“Itu biasalah, masa-sama sekarang ini kan mungkin ada pihak yang kecewa dan sebagainya, tapi dia akan ini (diambil tindakan) bila dia mengambil tindakan yang menentang parti,” katanya.