SUNGAI PETANI - Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meminta ahli parti tidak mempertikaikan kesetiaannya kepada parti yang didokongnya selama ini.

Beliau berkata ada pihak tertentu yang membuat dakwaan liar konon dirinya tidak setia kepada parti terutama menjelang pemilihan parti tersebut.

"Jangan ragu kesetiaan saya kepada parti dengan membuat tohmahan bermacam-macam terhadap saya.

"Kononnya saya tidak sanggup kosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan macam-macam lagi," katanya ketika berucap pada Majlis Semangat Merdeka "Malaysia Baharu" di sini, malam ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata, PKR perlu jadi parti yang kuat dan pihak-pihak tertentu tidak perlu menjadi "gunting dalam lipatan" untuk menjatuhkan sesama sendiri.

Azmin berkata, beliau sudah lebih 30 tahun berada dalam parti ketika susah dan senang dan tidak sama sekali buat dirinya untuk mengkhianati parti.

Sementara itu, beliau memberi jaminan akan membantu Kedah dalam meningkatkan ekonomi rakyat negeri ini seperti yang dijanjikannya kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Berulang kali Tun bertemu saya dan berbincang agar kementerian saya dapat membantu rakyat negeri ini dalam bidang ekonomi," katanya.

Beliau berkata banyak perancangan yang telah dibincangkan untuk mewujudkan Kedah sebagai sebuah kuasa ekonomi baharu seperti Selangor yang pernah diterajuinya. - Bernama