SEPANG - Ahli Umno perlu lebih agresif menjawab setiap fitnah yang dilemparkan kepada parti dan tidak membiarkan pembangkang terus 'hidup' atas fitnah.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sikap lesu serta lambat bertindak anggota parti boleh memakan diri apabila mereka mula panik sehingga menyerang parti dan kepimpinan ekoran termakan dengan hasutan dibuat.

Beliau berkata walaupun sedikit, setiap anggota parti perlu memahami isu di sebalik fitnah yang ditaburkan, bukan hanya bergantung kepada 'serangan balas' oleh pimpinan tertinggi.

"Sekarang ini, pembangkang hanya bergantung kepada fitnah untuk terus hidup sedangkan kita boleh 'menoktahkan' mereka dengan menjawab secara berfakta setiap perkara negatif yang dilemparkan pada Umno.

"Saya yakin, jika setiap lapisan dalam Umno peka dan mengambil maklum hal sebenar di sebalik fitnah yang dibuat seperti isu 1MDB atau GST, ia boleh diguna bagi menangkis sebarang salah fakta atau sekurang-kurangnya membuang rasa ragu-ragu di dalam diri mereka sendiri tentang isu yang difitnahkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Sepang di sini hari ini. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.