• Datuk Seri Mustapa Mohamed. Datuk Seri Mustapa Mohamed.
1 /

SHAH ALAM - Kerajaan memberi jaminan akan melaksanakan aku janji yang dibuat oleh Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya yang lepas mengenai penurunan harga kereta secara berperingkat-peringkat.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed memberi jaminan bahawa kerajaan akan memperhalusi  langkah dan tindakan ke arah menurunkan harga kereta di negara ini.

Beliau yang dilantik semula ke portfolio itu di dalam barisan Kabinet yang baru, turut menjelaskan bahawa kementeriannya mempunyai tugas besar untuk dilaksanakan memandangkan landskap ekonomi dan politik negara telah berubah secara radikal serta memberi impak kepada fungsinya.

“Perhatian yang lebih juga akan diberikan kepada dua negeri iaitu  Sabah dan Sarawak,” katanya kepada pemberita pada taklimat media di sini semalam.

“Ketelusan dalam urus tadbir akan dipertingkatkan sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat kepada pentadbiran kerajaan serta memberi respons yang cepat kepada isu-isu yang dibangkitkan,” katanya.

Turut hadir semasa taklimat itu ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang baru, Ir Hamim Samuri dan Ketua Setiausaha MITI, Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria.

Manifesto BN bertajuk ‘Menepati Janji Membawa Harapan’ yang dilancarkan oleh pengerusinya Datuk Seri Najib Tun Razak pada 6 April lalu, berjanji untuk menyemak semula Dasar Automotif Nasional bagi mengurangkan harga kereta secara berperingkat-peringkat  antara 20 hingga 30 peratus serta meningkatkan daya saing kereta nasional.

Pengumuman itu bagaimanapun dikatakan menciplak manifesto yang dikemukakan Pakatan Rakyat (PR) yang juga membentangkan cadangan dan pelan untuk mengurangkan harga kereta sedikit demi sedikit setiap tahun sebanyak 20 peratus melalui pengurangan cukai eksais yang berada di bawah kuasa kerajaan Malaysia.