SHAH ALAM – DAP menerima peletakan jawatan Pengarah Pemilihan, Pooi Weng Keong yang mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kesilapan keputusan Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP baru-baru ini.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, walaupun terdapat kesilapan komputer pada keputusan pemilihan CEC itu, namun Weng Keong haruslah bertanggungjawab.

Menurutnya, akibat dari kesilapan ini, calon bernombor 31 hingga 38 dan calon bernombor 61 hingga 68 mempunyai jumlah undi yang sama.

“Kesilapan ini menyebabkan Vincent Wu diumumkan sebagai pemenang CEC sedangkan sebenarnya tidak, manakala Zairil Khir Johari sepatutnya diterima masuk dalam senarai 20 terakhir,” katanya semalam.

Pada pemilihan CEC bulan lalu, Wu diumumkan menang apabila memperoleh 1202 undi manakala Zairil hanya mendapat 305 undi.

Namun selepas kesilapan komputer dikesan, Wu hanya mendapat 669 undi manakala Zairil mendapat 803 undi.

Mengulas mengenai kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mengatakan Weng Keong secara terbuka mengakui kesilapan itu, Guan Eng menegaskan, parti menerima peletakan itu dengan hati yang sedih.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, siasatan audit dalaman sedang dijalankan oleh pakar pilihan raya, Dr Ong Kian Ming serta pakar audit bebas dari TCMK Associated Chartered Accountants bagi menentukan keputusan akhir adalah tepat.

“Selepas kajian dan siasatan ini selesai, barulah mesyuarat penuh CEC dipanggil,” katanya.

Katanya lagi, siasatan ini mengalami sedikit kelewatan kerana musim cuti hujung tahun, selain ramai anggota CEC sudah pun bercuti.

“Walau bagaimanapun, saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada semua ahli CEC dan pemimpin parti yang menyokong penuh cadangan saya bahawa kita mengakui kesilapan secara jujur dan kesanggupan kami menanggung malu untuk menegakkan kebenaran,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - – Kenyataan Pas akan keluar Pakatan Rakyat (PR) jika kerjasama merugikan parti itu menjawab segala propaganda Barisan Nasional (BN) kononnya PR tidak meletakkan perlembagaan sebagai perjuangan utama.