IPOH – Keadilan Perak tidak akan mengambil sebarang tindakan tatatertib terhadap lima ketua cabang yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap penggunaan logo dan pembahagian kerusi parti itu dalam Harapan, semalam.

Ketua Penerangannya, Siti Aishah Shaik Ismail berkata, sebagai sebuah parti demokratik, pucuk pimpinan menghormati apa juga pandangan yang ingin disuarakan ahli termasuklah mereka di peringkat akar umbi.

Menurutnya, PKR negeri telahpun berjumpa dan berkomunikasi dengan setiap ketua cabang berkenaan bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung isu dibangkitkan.

“Kita mempunyai satu pasukan khas untuk menangani isu-isu sebegini, dalam kes ini, kita sudahun bercakap dengan mereka dan menyatakan kita dengan terbuka mendengar kritikan yang diberikan, mereka berhak menyuarakan pandangan meskipun dibuat menerusi media arus perdana.

“Kita tidak akan mengambil serius apa yang berlaku, tiada sebarang tindakan disiplin diambil dan mereka juga sudah berjanji untuk balik ke kawasan bagi membantu gerak kerja memenangkan calon,” katanya.

Semalam, lima ketua cabang PKR iaitu di Tapah, Kuala Kangsar, Parit, Lenggong dan Gerik menyuarakan rasa kecewa apabila parti itu mengenepikan suara akar umbi dengan mengambil keputusan ‘mengorbankan’ lima kerusi Parlimen dan lima Dun kepada Bersatu.

Mereka turut mempersoalkan kebenaran logo parti digunakan mewakili semua calon Harapan.

Siti Aishah berkata, pihaknya menganggap isu yang berlaku perkara biasa yang dialami semua parti terutama menjelang hari penamaan.

“Yang pasti kita teguh bersama Harapan, tidak timbul isu tidak percaya kepada parti, kita masuk sebagai satu pasukan berjaya tubuh kerajaan juga sebagai satu pasukan,” katanya.