KLUANG - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak menolak kemungkinan kejadian letupan di Nibong Tebal, Pulau Pinang dilakukan pihak tertentu yang cuba mencemarkan proses Pilihan Raya Umum ke-13 dengan membawa masuk keganasan atas nama politik.

Katanya perbuatan itu adalah serius dan boleh mencetuskan ketegangan tatkala rakyat sedang bersedia membuang undi pada 5 Mei ini.

"Ada had dan batasan dalam kita nak berpolitik. Ada had dan batasan untuk menuding jari terhadap orang lain. Ada had dan batasan nak dapat simpati daripada rakyat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kenduri Sekampung di Felda Kahang Timur di sini hari ini.

Hishammuddin mengulas kejadian letupan bom di kawasan ceramah berhampiran bilik gerakan Barisan Nasional (BN) Nibong Tebal, di sini malam kelmarin yang turut mencederakan seorang pekerja keselamatan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan pembangkang akan memutar belit isu itu dengan menganggap kejadian sebagai sandiwara Umno.

"Inilah taktik pembangkang, mereka akan kaitan apa sahaja yang berlaku dengan Umno," kata Naib Presiden Umno itu yang mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong pada pilihan raya umum ini.

Hishammuddin turut meminta masyarakat menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa bagi mengesan sebarang kejadian tidak diingini.

Turut hadir pada majlis itu ialah calon Barisan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kahang, R Vidyanathan. - Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.