SHAH ALAM - Pas percaya Pakatan Harapan (Harapan) akan terus menanam kesangsian rakyat terhadap parti itu dalam pelbagai cara.

Pengarah Institut Strategi Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mendakwa, tuduhan kononnya parti itu menerima dana daripada Umno misalnya, akan dijadikan senjata Harapan untuk menyerang Pas.

“Itulah satu-satunya senjata mereka berhadapan dengan Pas, maka tak mungkin senjata ini mereka simpan. Mereka akan terus guna sampai PRU14.

“Maka rakyat perlu ambil ingatan, ini senjata musuh, senjata Harapan untuk berdepan dengan Pas. Mereka tiada senjata lain, tiada senjata idea kerana Pas beri idea yang sangat banyak. Itu kekuatan kita,” katanya dalam sesi FB Live bersama Sinar Harian, hari ini.

Sebelum ini, bekas pemimpin Pas, Datuk Mahfuz Omar mendakwa bahawa parti itu ada menerima wang daripada pemimpin Umno tertentu.

Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan pemimpin Pas termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, tohmahan itu juga bertujuan mengalihkan perhatian jentera Pas berdepan PRU14.

“Saya nak bagi nasihat kepada jentera Pas, kerja kita ialah bergerak laju ke hadapan membawa manifesto kita kepada rakyat.

“Jangan layan provokasi yang nak jadikan kita leka sibuk layan tohmahan orang. Nasihat saya, jangan sesekali kita menari ikut tarian musuh,” katanya.

Menurutnya, Pas sentiasa berpegang kepada dasar Islam iaitu sebarang tohmahan perlu disertakan bukti kukuh.

“Pas tidak terlibat dengan tuduhan tersebut. Orang yang menuduh sila datang bawa bukti kerana kalau bukan kerana bukti, tentu orang boleh dakwa apa saja.

“Kerja Pas ialah menegakkan dasar tidak boleh bawa cerita palsu serta fitnah yang timbulkan persepsi dan boleh merosakkan masyarakat dalam jangka panjang. Sebab itu kita menentang sebarang bentuk berita palsu dan fitnah dengan penuh tegas kerana itu yang diajar dalam Islam,” katanya.

Mengenai persaingan tiga penjuru, Mohd Khairuddin berkata, Pas boleh menang menentang Umno sekiranya Harapan tidak bertanding di kerusi Melayu.

“Pas berjaya kekalkan pengaruh Melayu dan tarik pengundi atas pagar. Sebab itu parti paling gagah hadapi Umno ialah Pas, parti lain hanya jadi gangguan saja.

“Jika berlaku tiga penjuru di kerusi Melayu, Harapan hanya akan menyumbang kepada kemenangan Umno. Sepatutnya mereka biarkan Pas lawan Umno kerana kita boleh menang, tetapi Harapan ikut emosi dan mahu juga bertanding,” katanya.