Md Isa Sabu
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu

KANGAR - Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu yakin Barisan Nasional (BN) akan terus mendapat sokongan rakyat berbilang kaum di negeri ini pada pilihan raya umum ke-13 demi masa depan mereka. 

Katanya, walaupun ada andaian bahawa majoriti pengundi akan memilih pembangkang, namun menurut beliau ia merupakan satu persepsi pihak pembangkang sahaja.

"Sejak selepas pilihan raya umum lalu, BN dah rangka program untuk memastikan pilihan raya umum ke-13 berpihak kepada BN," katanya kepada pemberita selepas diminta mengulas persiapan BN Perlis menghadapi pilihan raya umum selepas melancarkan kempen penurunan harga dan jualan bersepadu 1Malaysia peringkat negeri Perlis 2012, di Dataran C-Mart, Arau hari ini. 

Md Isa yang juga Pengerusi BN Perlis berkata, masyarakat berbilang kaum di Perlis terutama Melayu, Cina, India dan Siam telah menunjukkan sokongan mereka kepada parti yang memerintah dan pastinya mereka tidak mahu mengambil risiko. 

Katanya, selama ini BN dan Umno telah menjaga kepentingan bangsa Melayu dan lain-lain kaum dengan sempurna dan mereka pastinya akan terus menikmati kehidupan selesa di bawah pentadbiran BN seperti sekarang.

Beliau yakin, pengundi akan mengembalikan dua kerusi dewan undangan negeri yang jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum lalu iaitu Sanglang dan Simpang Empat di samping mempertahankan 13 kerusi dewan undangan negeri yang lain. 

Pada masa ini kerusi dewan undangan negeri Simpang Empat dan Sanglang diwakili PAS manakala 13 lagi dikuasai BN di samping tiga kerusi parlimen yang semuanya dimenangi BN. 

Sebelum itu ketika melancarkan kempen penurunan harga dan jualan bersepadu itu, Md Isa berharap masyarakat membuat keputusan bijak dalam berbelanja manakala para peniaga membantu rakyat dengan menyertai kempen seumpama itu. 

Beliau berkata, setakat ini 16 syarikat menyertai kempen yang bermula 3 Sept sehingga 9 Nov itu dan mereka tidak lagi perlu memohon mengadakan jualan murah. - Bernama

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.