GOMBAK - Perjalanan Mesyuarat Agung Tahunan AMK Gombak yang berlangsung semalam dicemari insiden rampas mikrofon ketika ucapan penyandang ketuanya, Zainol Abidin Mohamad.

Video berdurasi 1 minit 28 saat itu tersebar menerusi aplikasi WhatsApp menyaksikan tindakan timbalannya, Ahmad Fahmi Alias merampas mikrofon dipegang Zainol, dipercayai kerana kurang senang dengan ucapan Zainol melobi calon Ketua AMK, Hilman Idham.

Zainol dalam ucapannya antara lain  meminta calon Ketua AMK Gombak, Ahmad Raj Abdullah berunding dan memberikan laluan kepada Hilman menerajui kepimpinan AMK Gombak.

Ahmad Fahmi bertindak keluar dewan sebagai tanda protes sementara ucapan Zainol diteruskan selepas insiden itu.

Zainol ketika dihubungi mempertahankan ucapannya atas dasar mengamalkan muafakat mengelak perpecahan dalam kalangan anggota AMK.

ZAINOL

"Saya minta calon Ketua AMK, Ahmad Raj memberikan laluan kepada Hilman yang mempunyai pasukan, berkebolehan dan kebetulan beliau juga Adun Gombak Setia.

"Ahmad Raj bertanding secara bersendirian, pasukan di bawahnya terdiri mereka yang menang tanpa bertanding.

"Saya hanya memberikan cadangan bukan paksaan namun perkara itu tidak dipersetujui beliau (Fahmi) yang membuat provokasi meminta saya berhenti dari berucap," katanya.

Ujar Zainol, sebagai peneraju AMK selama empat tahun dia mahukan jenteranya tidak berpuak dan bergerak secara berpasukan.

"Dalam kerancakan pemilihan inilah sebahagian daripada karenah yang terpaksa dihadapi untuk beri imej buruk AMK Gombak.

"Gombak ini kawasan tumpuan jadi kita nak elak pergaduhan atau salah faham seterusnya tumpu kepada agenda rakyat," katanya.